Pada saat ini, rakyat Malaysia pastinya sedang mencuba pelbagai cara untuk melajukan kembali kipas di rumah untuk menghilangkan kepanasan yang sedang melanda negara ini.
Lebih menggeramkan, peralatan elektrik tersebut juga enggan bekerjasama pada musim panas malah bergerak semakin perlahan walaupun sudah beberapa kali bilahnya dicuci.
Peka dengan situasi dihadapi oleh orang ramai, seorang lelaki tampil berkongsi ilmunya mengenai penyelenggaraan kipas menerusi satu hantaran di akaun X milik Azfar Ahmad.
Tidak perlu membazir wang anda untuk membeli peralatan elektrik yang baharu, Azfar memaklumkan bahawa pengguna cuma perlu menggantikan ‘kapasitor’ di dalam kipas bagi melajukannya semula.
Kapasitor ini difahamkan bernilai tidak lebih dari RM5 di mana pengguna boleh membelinya mengikut jenis model dan jenama kipas atau mengambil gambar kapasitor di rumah sebagai contoh.
Jelas Azfar, mereka yang mengguna tips ini perlu memusing sarung luaran kipas mengikut lawan ke arah jam sebelum menemui tiga skru bagi membuka alat elektrik tersebut.
Kemudian selepas tiga skru berkenaan dibuka, terdapat satu kepingan ‘board’ dapat dilihat di mana ia perlu dicabut bagi meneruskan langkah bagi menukar kapasitor yang telah anda beli.
“Sebelum kamu semua mula membuka lapisan board ini, pastikan cabut dahulu penyambung wayar. Kemudian, barulah kapasitor yang sudah lama itu ditukar dengan alat ganti baharu.
“Aku baru sahaja tukar sebentar tadi. Sekejap sahaja sebenarnya. Tidaklah sampai 20 minit. Jadi daripada membeli kipas yang baharu, apa kata cuba tukar kapasitor dulu,” ciapnya.
Para pembaca bolehlah mencuba tips dikongsi Afzan ini kerana cuaca panas berpanjangan dijangka akan berterusan hingga pertengahan bulan April ekoran kurangnya awan yang membawa hujan.
Malah, cuaca panas melampau ini turut dipengaruhi oleh faktor fenomena alam iaitu ekuinoks yang dijangkakan berlaku Rabu ini di mana tempoh masa siang dan malam adalah sama.
Fenomena ini juga turut menyaksikan matahari berada tepat pada garisan Khatulistiwa dalam proses pergerakan dari hemisfera selatan ke hemisfera utara.
Baca juga: Isteri mohon Safee Sali pulangkan 2 anak, rupanya dah lebih sebulan bawa lari