Kaya merupakan sejenis jem berwarna coklat ataupun hijau yang diperbuat daripada bahan seperti santan, telur, gula dan juga daun pandan.
Biasanya dimakan bersama kepingan roti sebagai sarapan pagi, perasa kaya ini juga sering digunakan sebagai inti di dalam roti kukus, pau ataupun kuih-muih tempatan.
Memandangkan jem ini cukup popular di benua Asia Tenggara termasuklah di negara Indonesia, Singapura Malaysia dan Singapura, ia sangat mudah didapati di pasaran.
Namun buat mereka yang teringin menyediakan jem Kaya sendiri di rumah, bolehlah mengikut panduan dari seorang wanita berusia dikenali sebagai Mak Nani Itnan ini.
Panduan yang tular di media sosial ini dikongsikan oleh Mak Nani Itnan menerusi satu hantaran dimuat naik di kumpulan Facebook Resepi Kuih Muih melalui akaun miliknya.
Resepi Kaya versi buatan sendiri
Bahan-bahan:
- Enam biji telur
- Tiga cawan santan atau sebiji kelapa
- Tiga sudu makan tepung jagung
- Setengah kilogram (kg) gula pasir
- Daun pandan
- Garam secukup rasa
- Setengah cawan gula (dibuat gula hangus)
1. Masukkan semua bahan ke dalam periuk atau kuali kecuali gula yang akan dibuat karamel. Kacau sehingga semua bahan laut. Kemudian tapis lalu diketepikan dahulu.
2. Letakkan setengah cawan gula yang disimpan tadi ke dalam kuali atau periuk dan kacau sehingga cair. Jangan biarkan sampai gula terlalu hangus.
3. Kemudian masukkan adunan yang telah anda ketepikan ke dalam gula hangus itu secara perlahan-lahan kerana takut terpercik. Kacau sampai adunan menjadi pekat.
4. Pastikan api ditetapkan di dalam suhu yang rendah sedikit. Sentiasa kacau untuk memastikan hasilnya nanti licin sahaja dan tentunya langsung tidak berketul-ketul.
5. Jem kaya anda sudah siap dan boleh disapu kepada roti atau dijadikan sebagai inti pau!
Selamat mencuba! Semoga perkongsian ini memberikan manfaat terutamanya mereka yang mahu bertukar selera tidak mahu membeli kaya dengan membuatnya sendiri di rumah.
Baca juga: Nak makan macam dekat kedai? Ini tip nak masak beras basmati, barulah lembut dan ‘peroi’