Baru tahu tak susah rupanya buat Pulut Sekaya, yang tak makan tepung boleh cuba!

Oleh WAN SITI AMINAH

Pulut sekaya merupakan salah satu jenis pencuci mulut tradisonal dipercayai berasal dari Pantai Timur yang masih digemari oleh segenap masyarakat Melayu.

Namun tahukah anda, kuih pulut sekaya versi asli juga sesuai buat mereka yang mengamalkan diet ‘gluten-free’ kerana bahan seperti tepung gandum tidak digunakan.

Sekiranya ada yang berminat, berikut kami kongsikan resepi Pulut Sekaya tanpa tepung berdasarkan hantaran Salma Ahmad di kumpulan Facebook, Masak Apa Hari Ni (MAHN).

Resepi Pulut Sekaya tanpa tepung

Bahan bahagian pulut (bawah):

  • Satu cawan beras pulut
  • Santan secukupnya
  • Sedikit garam

Bahan bahagian pandan (atas):

  • Dua cawan santan
  • Tiga perempat cawan gula (setengah cawan jika tidak suka manis)
  • Empat helai daun pandan
  • Kulit kayu manis
  • Jintan manis

Cara-cara penyediaan:

1. Tuangkan satu cawan santan ke dalam bekas yang berisi beras pulut. Tambahkan sedikit garam dan rendam seketika. Pastikan semua bahan tenggelam.

2. Langkah pertama untuk membuat bahagian atas adalah campurkan satu cawan santan bersama tiga perempat cawan gula. Kemudian ketepikan.

3. Selepas itu, kisarkan lebihan satu cawan santan tadi bersama daun pandan, kulit kayu manis, dan jintan manis. Lalu tapiskan dahulu semua hampas.

4. Kemudian masukkan semula ke dalam pengisar bersama campuran sebentar tadi dan tambahkan tiga ke empat biji telur serta sedikit pewarna hijau. Kisar sehingga sebati.

5. Masukkan beras pulut yang sudah direndam tadi ke dalam pengukus. Lalu kukuskan seketika. Selepas pulut masak, tekankan dengan padat. Pastikan permukaan rata.

6. Kemudian tuangkan adunan bahagian pandan ke atas pulut. Lalu tutupkan dengan lapisan aluminium dan sambung kukus semula sehingga masak. Selamat mencuba!

Baca juga: Baru tahu ada cara buat patti versi ‘sihat’, boleh makan burger tanpa rasa bersalah!