Baru tahu tempurung kelapa boleh lembutkan isi ayam pencen, senang nak masak rendang nanti!

Oleh WAN SITI AMINAH

Ayam pencen atau ayam tua memiliki rasa yang sangat membangkitkan selera sekiranya dimasak rendang, masak lemak, kari mahupun sup.

Walau bagaimanapun, tidak ramai suri rumah meskipun tukang masak gemar untuk menggunakan ayam pencen memandangkan isinya yang liat dan sukar dilembutkan.

Masalah ini mungkin tidak rumit dari sudut pandangan tukang masak handal, namun ia semestinya memberi sedikit tekanan buat mereka yang baru belajar memasak.

Jangan khuatir, berikut kami kongsikan sebanyak sembilan petua mudah untuk melembutkan isi ayam pencen berdasarkan satu hantaran di laman web Resepi Bonda.

1. Lada hitam dan halia

Tumbukkan setengah sudu teh lada hitam bersama dengan sedikit halia. Kemudian, masukkan bahan tersebut ke dalam periuk bersama ayam tua dan air untuk direbus.

Rebus sehingga ayam pencen itu lembut. Selepas itu keluarkan ayam sebelum dicuci bersih dan boleh dilumurkan dengan tepung beras jika anda mahu menggorengnya.

2. Tempurung kelapa

Berikut adalah antara cara mudah bagi melembutkan isi di mana anda hanya perlu masukkan beberapa keping tempurung kelapa ke dalam periuk saat merebus ayam.

3. Tebu

Masukkan seruas tebu ke dalam periuk ketika merebus atau memasak ayam pencen.

4. Biji selasih

Sediakan satu sudu besar biji selasih sebelum bungkuskannya dengan menggunakan kain kasa. Kemudian, masukkan kain itu ke dalam periuk ketika memasak ayam tua.

5. Daun pisang abu

Mula-mula, carikkkan daun pisang abu terlebih dahulu sebelum anda masukkannya ke dalam periuk ketika sedang merebus atau memasak hidangan ayam pencen.

6. Air kelapa

Potongkan ayam tua kepada beberapa bahagian terlebih dahulu. Kemudian bolehlah rebuskan ketulan yang sudah dipotong itu bersama air kelapa hingga isinya empuk.

Selepas itu, toskan air kelapa sebelum ayam tersebut boleh dimasak seperti biasa.

7. Pangkal daun nenas

Masukkan beberapa potongan pangkal daun nanas (warna kuning) ke dalam periuk ketika memasak ayam tua. Daun boleh dikeluarkan apabila isi ayam telah empuk.

8. Buah nanas

Kisarkan sepotong buah nanas. Kemudian, lumurkan kepada ayam tua dan perapkan selama setengah jam terlebih dahulu. Lalu, bersihkan dan masak ayam seperti biasa.

9. Buah betik muda

Ayam pencen perlu direbuskan dengan buah betik muda untuk melembutkan isinya.

Selamat mencuba! Semoga salah satu daripada petua ini dapat membantu pembaca untuk menyediakan hidangan ayam pencen buat keluarga yang tersayang.

Baca juga: Lipas banyak sangat dalam kabinet? Letak ‘4 sekawan’ confirm hilang habis!