Baru umur 2 tahun, cucu Kris Dayanti terima kereta mewah sebagai hadiah hari jadi

Oleh WAN SITI AMINAH

Cucu sulung penyanyi terkenal Indonesia, Kris Dayanti iaitu Ameena Hanna Nur Atta kembali menjadi soroton ramai selepas menyambut hari ulang tahun keduanya.

Mana tidaknya, Ameena yang juga anak kepada Youtuber popular Indonesia, Atta Halilintar itu menerima hadiah berupa sebuah kenderaan mewah sempena hari jadinya.

Kereta mewah tersebut merupakan hadiah pemberian Atta buat anaknya bertujuan untuk mempermudahkan perjalanan kanak-kanak berusia dua tahun itu ke sekolah.

Difahamkan, anak sulung Kris Dayanti iaitu Aurelie Hermansyah sudah memasukkan Ameena ke sebuah sekolah taska di Jakarta, Indonesia sejak kanak-kanak itu masih bayi.

Oleh yang demikian, pemberian hadiah mewah tersebut disifatkan oleh pasangan itu sebagai satu keperluan kerana mereka tidak perlu lagi berkongsi kereta selepas ini.

Hal ini berikutan pasangan suami isteri berkenaan mempunyai jadual pekerjaan yang sangat padat serta jarang berada di rumah, lapor media Indonesia iaitu Liputan 6.

“Ini pun permintaan mamanya (Aurelie) juga. Sebabnya, dia dan saya sangat sibuk bekerja. Jadi anak-anak perlukan kereta sebesar ini kerana sudah mula bersekolah.

“Lagi pula mamanya sudah memasukkan Ameena ke sekolah, jadi inilah hadiahnya”, kata Atta yang turut bergelar usahawan dan penyanyi itu memetik laporan Liputan 6.

Langsung tidak merasa rugi kerana memberikan kereta mewah kepada anak berusia dua tahun, Atta menjelaskan bahawa kereta itu merupakan hadiah ‘jangka panjang’.

Hal ini kerana, kenderaan jenis Hyundai Staria tersebut mampu memberikan manfaat kepada Ameena dan dapat digunakan sehinggalah kanak-kanak itu dewasa kelak.

“Tidak (mewah)lah kereta ini, semoga bermanfaat buat Ameena dan sesuai dengan keperluannya. Nak buat macam mana, bapa dan ibunya bekerja. Jarang di rumah.

“Alhamdulillah, nanti 20 tahun ke hadapan tidak perlu beli lagi (kereta). Untuk dia ke sekolah dan sampai bila-bila. Semoga jadual kami tidak terganggu lagi.” Ulasnya.

Sekadar info, Atta Halilintar melangsungkan perkahwinan dengan anak sulung Kris Dayanti itu pada April 2021 lalu dan dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan.

Cucu sulung Kris Dayanti itu menerima kereta pelbagai guna (MPV) yang dikatakan berharga 1,060,500,000 rupiah (RM324,899.96) untuk model Signature 7 atau 924,000,000 rupiah (RM283,081.15) bagi edisi Signature 9.

Baca juga: Lebih 10 tahun dalam industri, Shukri luah tak pernah terdetik di hati nak curangi isteri