Malaysia Dateline

Barua, pelacur politik gunting dalam lipatan

Tahun ini, masuk 48 tahun sejak Allahyarham Tun Dr Ismail meninggalkan kita. Peninggalan beliau untuk kita warisi adalah sebuah negara merdeka yang menuju masa hadapan yang cemerlang dan berpaksikan sistem demokrasi Raja Berperlembagaan yang utuh dan dihormati seluruh rakyat.

Malangnya, jika Allahyarham dapat melihat keadaan negara yang diwariskannya sekarang, yang nilai sejagatnya robek dek selera rakus barua-barua politik yang tamakkan kuasa, saya yakin Allahyarham pastinya kecewa dan marah.

Siapa sangka, generasi yang diwariskannya perjuangan membela nasib rakyat dan negara, rupanya gunting dalam lipatan.

Betapa kejinya politik sekarang sehinggakan PM sendiri yang mengetuai barua-barua dan pelacur-pelacur politik yang mana kesetiaan mereka boleh dijual-beli bagi menjaminkan suaka politik PM dan Team PN.

Mahiaddin secara teknikal sudah tidak ada sokongan lagi pada 3 Ogos lalu.

Jika dahulu, kesejahteraan negara mengikat kesefahaman politik semua pihak, sekarang berbeza sungguh. Kesejahteraan peribadi kini menjadi keutamaan. Ketamakan dan hawa nafsu menjadi modal politik sehingga sanggup mengenepikan perlembagaan negara, raja dan negara.

Di sebalik pelacuran politik ini, apa nasibnya rakyat? Hakikatnya taraf hidup di negara ini semakin merosot, dan lebih ketara di waktu darurat kesihatan sekarang ini.

Jika dahulu peratusan B40/M40 semakin terbela, lewat 17 bulan ini seolah-olah tiada pembelaan bagi mereka. Peratusan besar M40 kini jatuh ke B40. Setiap seorang dari empat orang graduan kini menganggur. Pembelajaran anak-anak dari tadika ke menara gading semuanya terbantut.

Pendek kata, sebahagian besar perjuangan Allahyarham Tun Dr Ismail untuk memerdekakan rakyat dari permasaalahan serupa, kini hampir lupus.

Sayangnya, bukan senang untuk memperbetulkan keadaan ini. Perjuangan untuk memerdekakan rakyat suatu perjuangan yang tulus dan memerlukan kegigihan berdekad lamanya. Apatah lagi perjuangan untuk memartabatkan bangsa Melayu.

Tapi di kala politik Melayu bertelagah sesama sendiri demi kuasa dan kekayaan, hampir mustahil kita dapat kembali ke landasan perjuangan asal.

Selagi politik Melayu berhasad dengki sehingga membangsatkan sesama sendiri, selagi itu, pelacuran politik akan berleluasa. Selagi politik Melayu sanggup membelakangkan nilai-nilai sejati Islam dan janji yang termaktub di dalam Perlembagaan, hanya demi suaka politik, selagi itu, bangsa Melayu akan tetap tertekan dan tercabar.

Seharusnya bangsa Melayu yang benar-benar beriman kepada yang Maha Esa, akan tetap juga patuh dan berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan. Itulah azimat kita.

Malah, ianya azimat untuk seluruh rakyat Malaysia yang berpegang teguh kepada Rukun Negara tanpa mengira bangsa atau agama.

Apabila pemimpin gagal mematuhi Perlembagaan dan memperlakukan institusi pentadbiran negara sebagai boneka politik peribadi mereka, rakyat juga yang akhirnya akan menderita kerana ketamakan politik tidak terhad ini.

Pentadbiran sesebuah kerajaan seharusnya suatu tanggungjawab utama hasil Demokrasi Sosial dan bukannya Demokrasi Politik. Hal ehwal sosial dan ekonomi rakyat sepatutnya menjadi pencapaian utama kerajaan yang berjaya, lebih-lebih lagi pada waktu bencana melanda.

Institusi DiRaja pula suatu mekanisme semak dan imbang bagi menjamin elemen Demokrasi Sosial ini. Disebabkan itulah, cabaran terhadap keputusan Institusi Diraja ini dilihat sebagai suatu petanda kehancuran kepimpinan kerajaan.

Mujur juga, rakyat Malaysia yang berjiwa perkasa, tidak kenal erti kalah, tidak kenal erti lelah, yang saling membantu dan menyokong antara satu sama lain bagi menjamin kesejahteraan masing-masing.

Jati diri inilah yang akan memastikan ekonomi negara tetap wujud walaupun para pentadbir melemparkan segala macam halangan terhadap orang awam.

Jatidiri inilah yang akan tetap menegakkan sistem demokrasi di negara ini sekalipun Perlembagaan negara dicabar.

Sepatutnya barua-barua dan pelacur-pelacur politik ini bersyukur kerana mereka kini berdiri di atas bahu Raja, rakyat dan pejuang-pejuang politik terdahulu dalam menempuh bencana sosial dan ekonomi kini. Jika tidak, sudah lama mereka turut terkubur di bawah ombak besar.

*TARIQ ISMAIL MUSTAFA merupakan Ketua Biro Hal Ehwal Antarabangsa, Ahli Majlis Eksekutif Pimpinan, Parti Pejuang Tanahair (Pejuang).