Malaysia Dateline

Barzah Umno dan Bersatu dalam kasyaf politik

Keputusan dalam Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU 2020) yang meluluskan usul supaya tiada kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diteruskan hingga pembubaran Parlimen memperlihatkan situasi barzah antara Umno dan Bersatu.

Apa yang dimaksudkan dengan barzah politik ialah pemisahan antara alam kerjasama politik dengan Bersatu dan PN berbanding dengan alam naungan politik BN di mana Umno adalah pemegang taruhan dan kuasanya.

Lantang menggelar seorang menteri dari partinya sebagai ‘makhluk perosak’, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencabar pemimpin itu melepaskan jawatan dalam Kabinet.

Tanpa menyebutkan nama, Presiden Umno itu turut mendakwa menteri tersebut ‘menikam’ Umno dari belakang.

“Jika ada di kalangan mereka yang terlalu seronok duduk dalam bilik yang terlalu berhawa dingin dan kerusi empuk, lihat dan harus tahu bahawa mereka yang ada di sana termasuk seorang menteri tapi tidak ada di pentas ini tapi menikam Umno dari belakang,” kata Zahid.

Hubungan Umno – Bersatu sentiasa berada dalam keadaan tegang ekoran beberapa isu termasuk dakwaan Umno dilemahkan oleh gerakan di peringkat akar umbi, selain beberapa ahli parlimen yang dibawa masuk ke Bersatu.

Dalam keputusan barzah Umno ini ternyata suatu kasyaf politik telah dibuka iaitu ketersingkapan, limpahan dan emanasi. Setiap kejadian yang tercetus mengandungi makna zahir dan batinnya yang harus difahami dan dimengertikan. Adakah segala yang menimpa Umno sekarang adalah bacaan sejarah dalam kerangka kebangkitan, kejatuhan dan reformasi?

Bagaimana dengan Bersatu adakah dengan tersingkapnya kelemahan Umno membawa limpahan kepada terbukanya kasyaf politik?

Jika ditelusuri kepada tarikh 9 Mei 2018 (pembentukan kerajaan PH), Bersatu adalah parti politik yang masih muda, diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad yang berumur 92 tahun, dengan 13 orang ahli Dewan Rakyat.

Namun sepanjang tiga tahun Bersatu berkembang menjadi parti yang berada dalam barzah dengan dua bentuk pemisahan alam – berada dalam kedua-dua alam iaitu pembangkang dan kemudian membentuk kerajaan dengan memegang tampuk kuasa melalui sosok Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kelapan, dengan 37 orang ahli Dewan Rakyat, pada masa yang sama memiliki 11 orang menteri dan 15 orang timbalan menteri.

Hayat Bersatu dalam PH adalah bersifat sementara kerana kedudukannya yang tidak berkuasa, ia mesti tegas dalam hayat politik bagi membentuk perbarzahan dalam konteks politik nasional. Ia tidak mahu berada di bawah parti besar dalam PH seperti DAP dan PKR. Ia tidak mahu setaraf dengan Amanah.

Sebelum Langkah Sheraton, ramai yang bertanya mengenai masa depan Bersatu jika terus berada di bawah dengan DAP beratapkan Pakatan Harapan (PH).

Bersatu tidak mahu dilabelkan sebagai mengkhianati bangsa Melayu dan umat Islam. Maka barzah pun berlaku perpindahan alam dengan Langkah Sheraton, dengan andaian Bersatu tidak menentang Umno-Pas, malah PKR-Amanah secara bersendirian dalam PRU15 akan datang.

Setelah melakukan barzah parti kecil yang diasaskan Tun Mahathir itu kini harus mengembangkan sayap harus mencari pengaruh dan sokongannya.

Suka atau tidak, parti serpihan Umno yang ditubuhkan pada September 2016 ini, yang bergantung kepada aura Mahathir, terutamanya ketika menjelang PRU14, untuk bergerak di peringkat akar umbi tanpa jentera tempatan.

Malah mentadbir parti sendiri menjadi satu cabaran apabila berdepan dengan puak bekas Umno yang masuk sebelum dan selepas PRU14, juga bekas PKR pimpinan Azmin Ali, yang hampir kesemuanya mendapat jawatan dalam kerajaan.
Ini semua memberikan cabaran kepada kelangsungan Umno sebagai parti besar dan berkuasa.

Di sini dipertanyakan soalan? Apakah bezanya antara Bersatu dengan Umno?

Jikalau sebelum Langkah Sheraton, pemimpin Bersatu partinya menolak rasuah, sungguhpun prinsip perjuangan yang digariskan, hampir sama dengan Umno.

Apa yang dilakukan Bersatu ialah cuba mengembalikan integriti, demokrasi, kedaulatan undang-undang yang dinafikan Umno sebelum ini, sekali gus mengembalikan penghormatan dan sanjungan dunia terhadap Malaysia.

Hujah inilah yang membezakan Bersatu daripada Umno pada ketika Malaysia dihantui skandal 1MDB dan kepincangan sistem yang menyusul untuk menutup kebobrokan yang terjadi.

Segala saluran dalaman Umno untuk membawa perubahan ditutup, dan pemimpin yang kekal bersama Umno membisu seribu bahasa di depan pemimpin yang korup.

Selepas Langkah Sheraton, kesemua hujah tersebut seolah diketepikan. Tiada lagi jarak sosial, mahupun garis pemisah antara Bersatu dengan Umno, apabila kedua-dua parti ini saling berpelukan. Bagaimana pendirian Bersatu sekarang dalam isu 1MDB? Sejauh manakah komitmen Bersatu untuk melakukan pembaharuan sistem dalam memartbatkan demokrasi?

Sejak ditubuhkan apa sebenarnya yang membezakan antara Umno dan Bersatu, orang macam bersalin kulit atau “tiada yang baharu”.

Antara kasyaf politik ialah penyingkapan ramalan masa depan gelap untuk Umno yang dinyatakan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam sebuah video sepanjang kira-kira 2 minit yang muncul di Youtube pada awal April 2019, Tun Mahathir dengan wajah yang lebih muda sedang memberikan ucapan yang meramalkan Umno tidak akan lagi berkuasa menjelang tahun 2020.

“Pada tahun 2020, Umno mungkin tidak berkuasa lagi kerana ditolak oleh orang Melayu sendiri kerana bosan dengan politik wang yang diamalkan oleh Umno.

“Saya fikir maksimum Umno boleh pi (pergi). Saya fikir sebelum itu juga kita lihat kualitinya merosot, sokongan kepadanya juga merosot.

“Tetapi apabila Umno sudah lemah ditolak orang Melayu maka BN juga akan runtuh,” kata beliau.

Selain menyatakan rakyat meluat dengan politik wang, dalam video itu Mahathir juga meramalkan pemimpin Umno akan mementingkan perebutan jawatan masing-masing dan bukan berjuang untuk negara dan orang ramai.

Limpahan daripada teori kasyaf politik ialah persaingan merebut kuasa antara berbagai-bagai pihak sama ada dalam kalangan pemimpin, pengikut, orang perseorangan yang lumrah berlaku akan membawa kepada pepecahan. Inilah yang berlaku kepada Umno.

Krisis pemecatan Anwar Ibrahim daripada jawatan parti dan kerajaan telah menyebabkan ahli Umno berpecah. Mereka yang selama ini meyokong kuat Anwar Ibrahim bertindak keluar daripada parti Umno untuk menyertai parti Pas ataupun parti Keadilan.

Budaya politik wang dalam Umno sudah menjadi seperti kanser yang perlu dihapuskan dan diganti dengan semangat pengorbanan untuk bekerja tanpa ganjaran wang ringgit.

Dakwaaan amalan rasuah dalam Umno di semua peringkat sudah menjadi buah mulut orang ramai. Mereka jelek dan muak dengan Umno, orang Umno dan pemimpin Umno. Perasaan benci kepada Umno sebagai parti yang tidak bermoral merebak ke merata-rata tempat.

Orang ramai melihat Umno sebagai parti pimpinan orang-orang yang berkepentingan diri semata-mata. Dari cawangan sehinggalah kepada pucuk pimpinan yang diutamakan ialah jawatan dan peluang memain kuasa dan buat duit apabila memegang jawatan.
Limpahan ini telah menjadi pembentukan Bersatu dan ia sedang berusaha menarik ahli Umno ke dalamnya dan berusaha menggantikan Umno sebagai parti dominan bagi orang Melayu.

Emanasi Umno ialah Umno ia tidak berkongsi kerusi parlimen dan negeri dengan Bersatu. Umno masih beranggapa ia mampu bergerak solo dan tidak perlu berkongsi kawasan, Jika Umno menang dengan kerusi yang besar dan berkuasa di kawasan majoriti Melayu barulah Umno akan memikirkan berkerjasama dengan Bersatu. Dalam hal ini, Umne perlu kembali kepada perjuangan asal menjaga kepentingan dan membantu orang Melayu. Ini adalah prinsip realiti Umno.

Ini tujuan asal yang harus dicapai dan diperjuangkan Umno dalam pencerahan atau emanasinya untuk kembali kepada matlamat asal penubuhannya.

Adakah dengan barzah Umno dengan Bersatu menandakan jika Umno berjaya mengekalkan kerusi parlimen atau menambah kerusi dengan menewaskan calon Bersatu (Jika bertanding bersemuka) maka ia akan memainkan penting dalam penyusunan strategik pembentukan kerajaan baharu nanti?
————–
Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel).