Malaysia Dateline

Bas henti-henti lumpuh lagi, Kerajaan Negeri disaran rombak semula perkhidmatannya

Susulan perkhidmatan bas di Kota Bharu yang dikatakan lumpuh pengoperasiannya pagi ini, sudah sampai masanya kerajaan merombak semula operasi bas henti-henti dalam mewujudkan kaedah menang-menang antara pengusaha bas dan penumpang.

Mahasiswa Pemuda AMANAH Negeri Perak, Mohd Ikhmal Mohd Iskandar mencadangkan agar kekerapan bas yang menyambungkan Kota Bharu dengan kawasan sekitar dikurangkan kepada sekurang-kurangnya tingga hingga empat kali sehari berbanding kekerapan sedia ada.

Penolong Setiausaha Pemuda itu berkata, cadangan tersebut mengambil kira tiga faktor puncak iaitu pagi, tengahari dan petang yang mana waktu tersebut mempunyai kapasiti penumpang lebih tinggi khususnya di kalangan mereka yang pergi ke sekolah/kerja dan pulang dari sekolah/kerja.

“Kekerapan yang dikurangkan adalah lebih wajar berbanding dengan suasana sekarang yang memperlihatkan kegagalan bas berfungsi seperti biasa.

“Ia juga dapat mengurangkan kos operasi bas dari bergerak di luar waktu puncak.

“Tambahan lagi, negeri Kelantan yang dikhabarkan bakal memperolehi royalti penuh petroleum daripada kerajaan pusat perlu juga memberi subsidi kepada pengusaha bas agar terus dapat beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malah, Mohd Ikhmal berkata, kejadian ‘shutdown’ bukan lagi satu perkara yang pelik oleh kerana dalam situasi semasa, bas henti-henti bukan satu industri yang menguntungkan terutama di kawasan luar bandar.

Tambah memburukkan keadaan menurutnya, faktor e-hailing yang mendapat sambutan hangat di kalangan anak muda menyebabkan rata-rata tidak lagi mahu menaiki bas henti-henti.

“Disamping itu, anak-anak muda sekarang juga lebih selesa menggunakan kenderaan sendiri daripada berasak-asak menaiki bas henti-henti.

“Ketika saya membuat kajian pengangkutan awam di negeri Terengganu 14 tahun lalu, di sana saya mendapati ‘load capacity’ bas hanya sekitar 50%-60% untuk satu-satu perjalanan.

“Malah ketika off peak ia hanya sekitar 30% sahaja,”katanya.