Malaysia Dateline

Bas RapidKL kurangkan kekerapan perkhidmatan sempena perintah Kawalan Pergerakan

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan menyusun semula kekerapan perkhidmatan bas bagi Rapid KL, Rapid Penang, Rapid Kuantan, Rapid Manjung, Rapid Kamunting dan BRT Laluan Sunway.

Menurut kenyataan dikeluarkan Prasarana hari ini, langkah tersebut diambil bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 terhadap pelanggan dan juga kakitangan.

“Penurunan kekerapan perkhidmatan berdasarkan permintaan (based on demand) secara berperingkat akan bermula pada 21 Mac 2020 sehingga diumumkan kelak.

“Dalam masa sama, Rapid Bus akan sentiasa memantau permintaan dan menasihati pelanggan-pelanggan mengenai sebarang perubahan.

“Rapid Bus telah mengambil inisiatif tambahan untuk menggalakkan para pelanggan supaya merancang perjalanan mereka dengan bantuan aplikasi web di https://myrapidbus.prasarana.com.my/kiosk bagi mendapatkan lokasi semasa bas Rapid KL.

“Bagi perkhidmatan Bas Perantara MRT pula, pelanggan boleh merujuk jadual terkini di laman Facebook @myrapid. Mereka juga boleh menghubungi kami melalui saluran-saluran media sosial atau hotline kami di 03-7885 2585,” maklum kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Rapid Bus Sdn Bhd, Muhammad Yazurin Sallij berkata, kepada yang masih bekerja, mereka tidak perlu bimbang kerana perkhidmatan bas masih beroperasi.

“Bagi mereka yang masih bertugas, jangan risau kerana perkhidmatan Rapid Bus masih beroperasi bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia dan orang ramai yang tetap bekerja bagi perkhidmatan-perkhidmatan penting sepanjang tempoh kawalan ini.

“Pengamatan kami sejak semalam mendapati, jumlah penumpang secara keseluruhannya telah menurun sebanyak 66 peratus. Bagi Rapid KL penurunan adalah sehingga 65.1 peratus, Rapid Penang (50.8 peratus), Perantara MRT (75.7 peratus), Rapid Kuantan (62 peratus) dan BRT Laluan Sunway sehingga 79.5 peratus.

“Dengan pengurangan jumlah penumpang, mereka juga dinasihatkan mengamalkan jarak sosial apabila keadaan mengizinkan,” katanya lagi.