Bashah lawat mangsa banjir di Pulau Pinang?

Bashah lawat mangsa banjir di Pulau Pinang?

Selamba makan nasi bungkus bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pulau Pinang bersama Ketua Menteri negeri berkenaan, Lim Guan Eng.

Demikian aksi duduk bersila Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah ketika lebih 3,000 rakyatnya di lima daerah di selatan negeri Jelapang Padi itu dilanda resah berada di pusat pemindahan banjir.

Foto yang mulai tular dikongsi pengguna media sosial itu menunjukkan Bashah, 67, mengunyah sebungkus nasi campur.

Walaupun sebelum ini diuar-uarkan bantuan daripada kerajaan Persekutuan terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang bukan bermotifkan politik kepartian tetapi Bashah dikesan berkemeja-T warna merah serta berlogokan Umno.

Di sebelah kiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Bata untuk lima penggal sejak 1995 itu ialah Guan Eng diikuti Zahid yang juga Naib Presiden Umno.

Mereka bertiga dilihat sedang menjamah makanan di atas hamparan tikar plastik dengan masing-masing turut dibekalkan sebotol air mineral.

Terdahulu, Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri dilapor melawat mangsa banjir di Pulau Pinang dan Kedah semalam dengan menaiki helikopter.

Rombongan kerja Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Butterworth pagi semalam.

Bagaimanapun, kemunculan Pengerusi BN Kedah di Pulau Pinang itu dilihat tidak relevan.

Bashah sebelum ini dikesan hadir melawat kawasan tanah runtuh di Jalan 5, Taman Selasih dekat Kulim. Turut serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim tetapi tanpa kelibat Guan Eng.

Bashah menggantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah dengan mengangkat sumpah pada 4 Februari tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau menjalani pembedahan komplikasi usus di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 7 Jun selepas pitam ketika menghadiri mesyuarat dengan Adun BN Kedah di Hotel Grand Alora, Alor Setar tiga hari sebelum itu.

——-
Foto:
Menteri Besar Kedah makan nasi bungkus di Pulau Pinang ketika negerinya mencatatkan ribuan mangsa juga terjejas akibat banjir.

3.6
OVERALL SCORE
4 user votes x 4.5