Malaysia Dateline

Basmi Covid-19: 5 Cabaran undang-undang dagangan hidupan liar China

Dunia mencatatkan sejarah hitam apabila lebih 1, 201, 767 milion populasi dunia dijangkiti Covid19. Daripada jumlah itu, 64, 710 nyawa telah diisytiharkan terkorban dan kadar kematian berpunca daripada Covid19 global dicatat sebanyak 5.38% berdasarkan kepada statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sejarah penyakit zoonotik pasti berulang jika China tidak mematuhi langkah pencegahan berikut :

1. Amalan pendekatan berjaga-jaga dalam undang-undang negara China seperti di bawah undang-undang awam antarabangsa.

China menyertai Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesis Terancam Flora dan Fauna Liar (CITES) semenjak 8 Januari 1981.

Mengikut perangkaan CITES, China boleh mengambil pendekatan berjaga-jaga di bawah ‘precautionary principle’ iaitu prinsip di bawah undang-undang awam antarabangsa yang diiktiraf dan juga digunapakai dalam CITES.

Prinsip ini memerlukan perspektif berhati-hati dalam perdagangan hidupan liar di peringkat awal sesuatu wabak meskipun belum terbukti bahaya dan risiko sesuatu virus dari segi fakta dan bukti saintifik. Undang-undang perlindungan China setakat ini tidak mengamalkan langkah hati-hati.

Lebih malang sebenarnya apabila komuniti antarabangsa juga tidak mampu berbuat apa-apa kerana pasar basah Wuhan di China melibatkan pasaran domestik dan bukan pasaran antarabangsa dalam ruang lingkup CITES.

2. Larangan kekal perlu meliputi penggunaan hidupan liar sebagai makanan dan ramuan pengubatan tradisional.

– Sekiranya salah satu daripada larangan ini tidak dilaksanakan, maka jangkitan penyakit zoonotik kembali menular sepertimana SARS dan Covid19.

Penggantungan sementara penjualan kucing civet iaitu pembawa virus SARS selama tiga bulan berkesan, namun pada tahun 2007 Jabatan Kesihatan Guangdong melaporkan pemerdagangan haram kucing civet meningkat setelah rakyat China bangkit dari jangkitan SARS.

Sejarah berulang apabila Februari lalu menunjukkan China menguatkuasakan perintah larangan sementara pemakanan hidupan liar tetapi tiada larangan dikuatkuasakan untuk pengubatan tradisional.

Lebih ironi apabila Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China meluluskan garis panduan penggunaan suntikan “Tan Re Qing” iaitu hempedu beruang yang dicampur dengan tanduk kambing dan tiga lagi ramuan herba tradisional untuk merawat penyakit Covid19!

Yang jelas hempedu beruang tidak terbukti kemujaraban malah lebih mengundang kemudaratan menurut pandangan beberapa pakar perubatan seluruh dunia.

3. Perlindungan ke atas hidupan liar perlu menyeluruh dan meliputi kesemua hidupan darat mahupun akuatik. Samada di habitat liar mahupun dibiakbaka di pusat penternakan, China harus berhati-hati memandangkan terdapat kajian saintifik yang membuktikan risiko jangkitan boleh berlaku menerusi hos haiwan daripada spesis ikan, amfibia dan organisma akuatik.

Sekadar larangan dagangan kucing civet, kelawar, anjing dan kucing memang tidak mencukupi dalam membasmi virus bahaya yang melompat dari haiwan kepada manusia, dan manusia kepada manusia.

4. Dapatan dari IGO Agensi Penyiasatan Alam Sekitar (EIA) menekankan pertimbangan berat harus diberikan dalam undang-undang perlindungan hidupan liar China ke atas kesihatan masyarakat global dan bukan pada permintaan berasa akan budaya makanan dan ubatan eksotik tempatan semata-mata.

Namun Mac lalu China terus membekal daging hidupan liar menerusi pasaran atas talian sewaktu pasar eksotik Wuhan ditutup akibat Covid19.

5. Larangan kekal ke atas konservasi hidupan liar bagi tujuan perdagangan domestik oleh China. 20,000 ekor beruang dikurung dalam sangkar ketika ini hanya untuk memenuhi permintaan pembekal perubatan tradisional di China bagi penyediaan “Tan Re Qing” yang katanya dapat memulihkan simtom Covid19.

Mungkin CITES mampu membasmi perdagangan ini sekiranya dibuat di peringkat antarabangsa memandangkan China adalah parti dalam CITES.

Namun tiada kuasa yang mampu menghalang selagi mana China membenarkan dagangan domestik mereka berterusan menggunakan haiwan-haiwan liar ini tanpa belas ihsan dan langkah perlindungan yang sewajarnya.

Soalnya sekarang, adakah China akan mengambil pendekatan altruistik dan audit dalam membasmi penularan virus seperti lima langkah ini?

Intinya, dunia mengharapkan penguatkuasaan undang-undang dalam membasmi epidemik. CITES mungkin titik rujukan standard antarabangsa yang baik tetapi China tidak perkasa sekiranya tidak mengubah peruntukan undang-undang perlindungan hidupan liar berdasarkan langkah-langkah pengesyoran yang telah diberikan.

Tanpa perubahan drastik dalam perundangan hidupan liar tempatan China, persepsi dunia kepada China hanyalah sebagai kuasa besar dan rakan perdagangan yang baik tetapi tidak bertaring dalam bab pemurnian undang-undang yang membawa kepada kesejahteraan sejagat.

* Penulis merupakan pensyarah kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia.