Malaysia Dateline

Batal Bazar Ramadan tergesa-gesa, peniaga wajar dibayar ganti rugi

Kerajaan Kelantan seharusnya membayar balik wang deposit kepada para peniaga ekoran bertindak membatalkan Bazar Ramadan di saat akhir.

Timbalan Pengerusi AMANAH Kelantan, Che Ibrahim Mohamed berkata, pembayaran deposit itu perlu dibayar balik kepada para peniaga kerana pembatalan yang dibuat masih dalam tempoh ‘khiyar’.

Selain itu, katanya kerajaan Pas Kelantan juga sepatutnya membayar ganti rugi kepada para peniaga kerana membatalkan operasi bazar Ramadan dengan tergesa-gesa.

“Sejauh manakah Islam telah diamalkan dalam pentadbiran Kerajaan Kelantan, kita tunggu dan lihat apa reaksi Pas sebagai parti yang memerintah Kelantan,” katanya.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Dr Izani Husin memaklumkan Bazar Ramadan dan Aidilfitri di seluruh Kelantan tahun ini dibatalkan susulan lonjakan kes Covid-19 di negeri pantai timur itu.

Menerusi Facebooknya, beliau juga memberitahu Madinah Ramadan juga ditukar menjadi Pusat Rawatan dan Kuarantin Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) sebagai ikhtiar membendung penularan wabak berkenaan.

Berikutan keputusan tergesa-gesa itu, ramai peniaga meluahkan rasa kecewa kerana wang sudah habis berbelanja untuk persiapan berniaga pada Ramadan yang akan bermula esok.