Malaysia Dateline

Batal bina kuarters pekerja berpusat, penduduk Kepala Batas berbelah bahagi

Keputusan membatalkan cadangan membangunkan Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) di kawasan taman industri baru Taman Teknologi Pulau Pinang di Bertam, Seberang Perai Utara sepertimana diumumkan Timbalan Ketua Menteri 1, Dato’ Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman disambut baik oleh penduduk kawasan terbabit.

Malah Ahli Parlimen Kepala Batas, Dato Sri Reezal Merican Naina Merican turut menzahirkan rasa lega beliau ekoran keputusan pemaju projek bersetuju untuk tidak meneruskan cadangan pembangunan tersebut setelah mengambil kira pandangan penduduk setempat, pimpinan tempatan serta jabatan-jabatan teknikal terlibat.

Sebelum ini penduduk kawasan terbabit telah membantah CLQ dibangunkan kerana bimbang wujudnya pelbagai masalah sosial serta kesihatan di kawasan tersebut sekiranya cadangan membangunkan CLQ diteruskan dengan pembinaan sebanyak 977 unit secara berfrasa.

Terkini dengan diketuai wakil penduduk Kepala Batas juga, Mohd Amir Zulkifli bersama-sama 60 penduduk telah menghantar sokongan kepada Ketua Penolong Pegawai Daerah Seberang Perai Utara, Nordiana Ismail memohon supaya projek taman perindustrian di Kepala Batas seperti direncanakan diteruskan dan bukannya dihentikan kerana ia mampu memberi peluang pekerjaan yang luas kepada penduduk dan golongan muda tempatan.

Tambah Mohd Amir lagi, dengan wujudnya taman industri tersebut selain memberi peluang pekerjaan ia akan dapat menjimatkan kos bagi penduduk tempatan khususnya golongan muda dari berulang alik ke sebelah Pulau atau kawasan perindustrian yang lebih jauh bagi mendapatkan pekerjaan.

Baca juga Apa dah jadi dengan enam kapal tempur pesisir pantai sejak 2019?

Baca juga 10 tahun pihak berkuasa suruh sabar, pakcik ini nekad memancing di jalan berlubang sebagai tanda protes