Blok pembangkang mendesak Speaker Datuk Seri Azhar Azizan Harun memanggil segera Menteri Undang-undang Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk menjelaskan keputusan kerajaan membatalkan Ordinan Darurat bermula 21 Julai.
Menteri terbabit wajar memberi penjelasan segera di dalam dewan pada hari ini kerana keberkesanan Ordinan Darurat masih terpakai tidak wajar tunggu pada hari Isnin.
Ahli Parlimen Puchong Ghobine Sigh Deo yang bangun mengemukakan Peraturan Mesyuarat meminta Speaker memanggil menteri terbabit untuk memberi jawapan segera.
“Semalam kes doktor kontrak, apakah mereka akan diambil tindakan di bawah Ordinan Darurat, macam mana keadaan ini.
“Tanya hari ini tunggu hari Isnin,” kata beliau.
Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil pula bangun menyatakan menteri berkenaan yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu bukan sahaja telah mengelirukan dewan tetapi rakyat Malaysia.
“Rakan-rakan peguam semak warta kerjaaan tidak ada sebarang pemakluman Ordinan Darurat dibatalkan.
“Kota Bharu perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak Kebebasan Parlimen.
“Pohon Speaker panggil Kota Bharu untuk beri penjelasan sekarang,” katanya.
Ahli Parlimen Pulai Datuk Seri Salahuddin Ayub memohon Speaker menggunakan Peraturan Mesyuarat 99 yang memberi kuasa mutlak demi menjaga maruah Speaker.
“Pleased Speaker,” kata beliau.
Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad pula menegaskan menteri harus menjelaskan apa yang dia sebut pada hari itu juga bukanya pada Isnin.
“Dia sebut, kita tanya dan dia (menteri) kena jawab pada masa itu juga,” tegas Khalid.
Bagaimanapun, Speaker menjelaskan beliau telah memerintahkan menteri berkenaan untuk menjawab sama ada keputusan membatalkan Ordinan Darurat sudah mendapat perkenan YDPA atau belum.
“So kita tunggu hari Isnin ini,” kata Speaker yang diikuti suara bantahan daripada blok pembangkang.