Batal debat: Jahat sungguh polis, kata Mahathir

“Jahat sungguh polis Malaysia. Sementara Menteri-menteri dan Najib sendiri tidak menghalang debat saya dengan Nazri, polis daerah pandai-pandai menyekat,” luahan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam.

Dr Mahathir di dalam blognya semalam mengulas mengenai pembatalan debatnya dengan Menteri Pelancongan Datuk Mohamad Nazri Abdul Aziz yang sudah dua kali dibatalkan.

Beliau berkata, halangan debat itu dilakukan di peringkat polis berjawatan bawah daripada Ketua Polis Negara sendiri yang dianggapnya terpaksa mengikut rentak.

“Semua ini kerenah polis. IGP pun tidak ada halangan. Katanya ini bukan business polis. Yang tidak beri kelulusan ialah pegawai daerah polis (OCPD).

“Timbalan Menteri Dalam Negeri pun pegawai-pegawai polis tak hormat. Bukankah YB Nur Jazlan sudah berfirman bahawa ia tidak ada halangan. Bahkan dia sokong debat diadakan. Tetapi itu pun tidak dihiraukan oleh pegawai rendah polis. Ia tak beri atau tarik balik kelulusan.

” Sesungguhnya pegawai rendah polis sudah ambil alih negara ini. Kerajaan, Menteri-Menteri dan Najib begitu demokratik, hendak beri kebebasan sepenuhnya kepada rakyat. Tetapi polis ganggu. Jahat sungguhlah polis,” ujarnya.

Munurut Pengerusi Parti Bersatu ini lagi, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar terpaksa ikut pegawai bawahannya apabila Khalid pula tidak bersetju debat diadakan di Kompleks Karangkraf di Shah Alam.

Sebaliknya Dr Mahathir memuji respon menteri kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

“Mujurlah Menteri Kewangan 2, mencadang supaya debat diadakan di hotel. Demikianlah minat Kerajaan untuk melihat debat diadakan.

“Saya kecewa kerana untuk wacana “Nothing to Hide” dahulu pun polis buat kacau. Najib hilang peluang untuk mencerita bagaimana kawan Arabnya memberi kepadanya hanya USD681 million (2.6 billion Ringgit diwaktu itu) dan membisik bahawa ia patut masuk dalam akaun peribadinya, belanja sesuka hatinya tanpa pengetahuan sesiapa.

“Kerana IGP bebas menghalang Najib, PM Malaysia tidak dapat bersih dirinya dari tuduhan tak berasas.

“Kata Nazri Malaysia sudah jadi “Polis State”. Ya benar. Benang-benang halus yang menggerak bibir dan lidah polis sebenarnya tidak ada walaupun ternampak ada.

“Syabas Malaysia, negara demokratik yang tidak ada tolok bandingnya,” ujarnya.

Ahad lalu, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff dilaporkan sebagai berkata debat antara Dr Mahathir dan Mohamed Nazri di Kompleks Karangkraf, Shah Alam yang dijadualkan pada 7 April ini dibatalkan atas faktor keselamatan dan ketenteraman awam.

Sebelum itu, debat di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kati, Kuala Kangsar yang dijadualkan pada 25 Mac lepas turut dibatalkan oleh Polis Perak atas faktor yang sama.

Bagaimanapun semala Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan wujud campur tangan politik dalam keputusan pembatalan permit debat antara bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz itu.

COMMENTS

Wordpress (0)