Malaysia Dateline

Batal Forum : ‘Kita wajib menjaga kesucian masjid sebagai rumah Allah’

Exco Agama Kerajaan Negeri Kedah menyeru semua pihak tidak mengunakan masjid dan institusi masjid untuk menyebar sentimen perkauman sempit dan politik kepartian yang akan mengganggu gugat keharmonian masyarakat setempat khasnya dan negara amnya.

Datuk Dr Ismail Salleh berkata, Skuad Badar adalah sebuah NGO yang bukan sahaja haram dan tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) malah mereka juga ada fail di bawah Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

“Berkaitan dengan Program Forum Perdana Roadshow Skuad Badar yang dibatalkan oleh pengurusan Masjid Tunku Sallehudin Bandar Putri Jaya yang dianjurkan oleh Skuad Badar Negeri Kedah.

“Tajuk forum iaitu ‘Melayu Selamat Islam Berdaulat’ jelas bukan sahaja bersifat provokasi dan bermotifkan politik sempit tetapi ia juga mempunyai unsur perkauman yang boleh menjejaskan perpaduan kaum yang telah kita bina sejak sekian lama.

“Dengan memperincikan semua fakta demi menjaga kesucian institusi masjid ianya wajar dibatal agar unsur-unsur tidak sihat dapat dibendung dari awal.

“Pihak Kerajaan Negeri tidak akan menghalang penganjur untuk mencari tempat lain selain masjid dan mengadakan forum tersebut jika mendapat kebenaran dari pihak polis,” ujarnya.

Dr Ismail Salleh yang juga Pengerusi AMANAH Negeri Kedahberkata, masjid sebagai ‘rumah Allah’ adalah tempat penyatuan umat Islam. Ia bukan sahaja tempat pentadbiran dan ibadat khusus malah institusi masjid mestilah berperanan sebagai tempat untuk menyatupadukan masyarakat dan tidak sekali-kali dijadikan medan menimbulkan persengketaan yang akan menyebabkan perpecahan masyarakat.

“Masjid sebagai rumah Allah yang menjadi tempat ibadat kepada semua masyarakat Islam setempat mestilah dipelihara kesuciannya dan sudah tentu menjadi tanggung jawab kerajaan yang memerintah dan seluruh umat Islam di sepanjang masa menjaga ketertibannya dalam semua aspek, samada disegi pentadbiran, kebersihan, program, kuliah dan khutbah demi memastikan kesucian rumah Allah ini sentiasa terpelihara,” ujarnya dalam kenyataan.

Beliau mengulas mengenai pembatalan cadangan forum ‘Melayu Selamat Islam Berdaulat’ oleh sebuah NGO yang dikenali sebagai Skuad Badar Negeri Kedah di Masjid Tunku Sallehudin, Bandar Putri Jaya, Khamis lalu, tidak dapat diteruskan setelah dibatalkan pihak pengurusan masjid disaat akhir.