Malaysia Dateline

Batal Ordinan Darurat mahu elak perbahasan, tanya Umno

Walaupun berada dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN), Umno pun dilihat masih tertanya-tanya berhubung penarikan balik semua Ordinan Darurat sejak lima hari lalu.

Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan mempersoalkan mengapa tiada pemakluman awal berkenaan pembatalan darurat yang merupakan suatu keputusan besar.

“Bermakna, selama lima hari rakyat tidak diberitahu undang-undang dan sistem apa yang beroperasi dalam negara.

“Bagaimana kesahihan segala tindakan selama lima hari ini baik kompaun, denda dan lain-lain perihal pentadbiran negara yang berlandaskan andaian bahawa undang-undang darurat masih terpakai?” soalnya dalam hantaran di Facebook.

Dalam perbahasan hari pertama Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini, dimaklumkan bahawa Perlembagaan memperuntukkan bahawa sebarang Ordinan Darurat mesti dibentang kepada Parlimen, melainkan dibatalkan lebih awal.

“Adakah mengelak prosedur perbahasan ini menjadi sebab pembatalan dibuat awal?
Sedangkan semalam, kenyataan rasmi Umno jelas mahu membahas dan membatalkan ordinan darurat,” ujarnya.

Sehubungan itu, Shahril menggesa kerajaan mesti memberikan penjelasan segera bagi mengelak kekeliruan.

“Dalam Dewan tadi pun, masih wujud kekeliruan apakah status darurat.

“Adakah proklamasi kekal sehingga 1 Ogos tetapi ordinannya sahaja yang batal? Bilakah keputusan pembatalan ini dibuat?

“Adakah telah diperkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong?” soalnya lagi.

Beliau bahkan menyifatkan kerajaan hanya melakukan sesuatu tindakan selepas didesak berkali-kali oleh pelbagai pihak termasuk Umno.