Malaysia Dateline

Batal rancangan labur RM60 bilion ke Amerika jika serius sokong rakyat Palestin

Fahmi Fadzil Najib

Perdana Menteri perlu mengambil peluang untuk menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin dengan membatalkan rancangan melabur hampir RM60 bilion di Amerika Syarikat bagi lima tahun akan datang seperti diumumkan dalam lawatan Datuk Seri Najib Razak ke Rumah Putih, 12 September lalu.

Ini termasuk RM42 bilion untuk membeli kapal terbang Boeing, RM16.8 bilion pelaburan KWSP, dan peningkatan pelaburan Khazanah dari USD400 juta yang ada sekarang.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan mempersoalkan komitmen pentadbiran Najib untuk mengukuhkan ekonomi AS ketika negara kuasa besar dunia itu langsung tidak membantu mengukuhkan masa depan rakyat Palestin?

Malaysia melalui platform Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), ujarnya telah menyatakan bantahan keras terhadap tindakan Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Namun tambah beliau, AS kelihatan masih belum berganjak dari pendirian sebelah pihak yang meranapkan proses perdamaian Palestin-Israel, dan bakal menggugat kestabilan politik rantau Asia Barat malah seluruh dunia.

“RM60 bilion bukanlah satu jumlah kecil, lebih-lebih lagi apabila ianya merupakan wang rakyat Malaysia.

“Mengapa Malaysia membantah pendirian AS tentang Baitulmaqdis tetapi tetap mahu melabur RM60 bilion wang rakyat Malaysia ke dalam ekonomi AS? Bukankah ini satu pendirian hipokrit?” tegas beliau.

Menurutnya, dalam isu ekonomi dan geopolitik, Malaysia mampu memilih untuk tidak melabur ke dalam ekonomi AS sebagai tanda bantahan, malah negara sebaliknya boleh memilih untuk melabur di negara lain yang berlainan pendirian dengan AS dalam isu Baitulmaqdis.

“Contohnya jika Malaysia masih memerlukan kapal terbang untuk MAS, kita boleh membeli kapal terbang Airbus (Perancis) atau Bombardier (Kanada) dan bukannya Boeing (AS). Perancis dan Kanada kedua-duanya enggan mengakui Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel,” jelas Fahmi.

Sehubungan itu, beliau menggesa Umno-BN agar konsisten dalam pendirian mereka dan tidak sekadar berhimpun di hadapan kedutaan AS sebagai tanda bantahan namun bertandang ke White House membawa pelaburan.

“Kenapa kita beria-ia sangat nak bantu kukuhkan ekonomi AS, bila AS langsung tak bantu kukuhkan masa depan rakyat Palestin?” soal beliau lagi.