Batal sijil AIM yang tidak penuhi syarat Suratcara Ikatan Amanah

Batal sijil AIM yang tidak penuhi syarat Suratcara Ikatan Amanah

Datuk Junaidah Kiting

Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menegaskan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin adalah berkaitan penubuhan anak-anak syarikat AIM sahaja bukannya penutupan operasi AIM secara keseluruhan.

Pengerusi AIM, Datuk Junaidah Kiting dalam kenyataannya berkata, kerajaan akan memulakan prosedur pembatalan Sijil Pemerbadanan AIM kerana tidak memenuhi syarat-syarat Suratcara Ikatan Amanah terutamanya dalam penubuhan anak-anak syarikat.

“AIM secara pinsipnya memandang serius terhadap kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin itu.

“Sebagai sebuah badan amanah persendirian yang ditubuhkan sejak September 1987, pengurusan AIM sentiasa mengambil perhatian terhadap apa jua isu yang melibatkan soal integriti dalam setiap aspek tadbir urus badan ini,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, AIM sentiasa terbuka serta memberikan kerjasama penuh kepada kerajaan untuk melaksanakan proses undang-undang sekiranya terdapat unsur-unsur meragukan dalam penubuhan anak-anak syarikat yang tidak mengikut syarat Surat Ikatan Amanah 26 April 2012 dibawah Klausa 3(C).

Malah, jelas beliau, pengurusan baharu AIM ketika ini menegaskan tidak akan bertolak-ansur dengan mana-mana pihak sekiranya wujud amalan ketirisan, penyelewengan atau penyalahgunaan dana AIM yang berlaku semasa pentadbiran lalu.

Pada masa sama, kata beliau, AIM sedang berusaha menyiapkan laporan lengkap dan akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut dalam tempoh terdekat ini sekaligus memberikan ruang kepada undang-undang bagi mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana yang terlibat.

“AIM juga akan mengemukakan laporan yang sama untuk perhatian YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi memastikan hala tuju AIM tidak tersasar daripada matlamat asalnya untuk membasmi kemiskinan menerusi kemudahan pembiayaan keusahawanan,” katanya.

Justeru tegas beliau, AIM di bawah pengurusan baharu ketika ini sedang giat melaksanakan agenda utama membantu meningkatkan sosioekonomi rakyat miskin dan berpendapatan rendah menerusi program-program pembiayaan aktiviti meningkatkan pendapatan, keusahawanan, bimbingan dan latihan di seluruh negara.

Terdahulu, Mohamed Hanipa Maidin berkata Kerajaan sedang menyediakan dokumen yang diperlukan untuk memulakan prosedur pembatalan sijil Pemerbadanan AIM kerana tidak memenuhi syarat-syarat Suratcara Ikatan Amanah terutamanya dalam penubuhan anak-anak syarikat.

Katanya, berdasarkan Surat Ikatan Amanah 26 April 2012 klausa 3(c), penubuhan anak syarikat adalah tidak dibenarkan.

Beliau berkata, dalam hal ini menteri melalui Seksyen 171 (c) Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 (Akta 258) boleh membatalkan Sijil Pemerbadanan AIM sekiranya didapati melaksanakan aktiviti yang bercanggah dengan objektif sebagaimana dinyatakan melalui Surat Ikatan Amanah.