Batal status Tanah Rizab Melayu di Kuantan, tapi tidak diganti

Batal status Tanah Rizab Melayu di Kuantan, tapi tidak diganti

 

Tindakan kerajaan negeri Pahang tidak menggantikan tanah rizab Melayu yang ditukar statusnya oleh kerajaan dan kemudian dibeli oleh Pengerusi Pengerusi Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Hasan Arifin kini menjadi pertikaian.

Adun Semambu dari PKR, Lee Chean Chung dalam sidang media di Petaling Jaya semalam membidas keputusan kerajaan negeri Pahang berkenaan kerana bercanggah dengan Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan status tanah rizab Melayu yang dibatalkan mesti diganti dengan keluasan tanah yang sama.

Dakwaan Lee Chean Chung itu dibuat berdasarkan jawapan bertulis Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

“Pembatalan sebahagian Kawasan Simpanan Melayu Tok Sira bagi hakmilik HS(D) 16495, Lot 51703, Mukim Bandar Kuantan, Daerah Kuantan telah dilakukan melalui Warta Kerajaan Pahang No 558 bertarikh 3 Ogos 2000,” dipetik daripada jawapan bertulis Adnan yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Pahang pada persidangan Dewan Undangan Negeri, November lalu.

Menurut jawapan berkenaan, pemilikan saham syarikat yang disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur itu tidak terhad kepada orang Melayu sahaja.

Sehubungan itu, beliau mendesak supaya kerajaan negeri mendedahkan minit mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang berkenaan pembatalan status rizab Melayu di lot tanah tersebut untuk semakan awam serta menuntut Pasdec, yang membeli dan menukar status tanah itu, menjelaskan kewajaran pembatalan dan penjualan tanah yang sama kepada Hasan.

Pada masa sama, Lee turut mendesak Hasan, 64, yang pernah menjadi Timbalan Menteri Besar Pahang pada 1995 hingga 1999 itu supaya tampil menjelaskan isu tersebut secara terbuka.

“Sehingga kini, Hasan Ariffin masih tidak berani menjawab isu ini dan hanya tahu menghantar surat guaman kepada saya yang mendepankan isu berkepentingan awam sahaja!” tulisnya di Facebook beliau hari ini.

Pada Jun tahun lalu, Lee yang juga Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendedahkan Hasan terbabit dengan skandal jual beli lot tanah rizab Melayu daripada anak syarikat kerajaan negeri Pahang, Pasdec Corporation Sdn Bhd dengan harga RM76,499 sebelum menjualnya kepada individu bernama Ti Lian Yeah lima kali ganda lebih tinggi iaitu pada harga RM321,184.02.

Ekoran itu, Hasan yang juga Ahli Parlimen Rompin dilapor menghantar surat ‎menuntut Lee memohon maaf dalam tempoh 14 hari dan akan membawa kes berkenaan ke mahkamah dan menuntut ganti rugi sehingga RM5 juta jika Lee enggan berbuat demikian.

Dalam perkembangan berkaitan, Lee juga memberitahu pihaknya belum lagi menerima maklum balas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pendedahan tersebut.

Untuk rekod, Hasan dilantik Pengerusi PAC berkuatkuasa 19 Oktober 2015 dengan sokongan majoriti sidang Dewan Rakyat walaupun menimbulkan pertikaian hebat Ahli Parlimen pembangkang.

Hasan dilantik ke jawatan itu bagi menggantikan Datuk Nur Jazlan Mohamed yang melepaskan jawatannya selepas dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Adnan juga dilapor berkata, keputusan itu diambil kerana kawasan tersebut juga berpotensi dikomersilkan bagi mendapatkan nilai pasaran yang lebih tinggi berbanding statusnya sebagai kawasan simpanan Melayu.

Walau bagaimanapun, pembatalan sebahagian Kawasan Simpanan Melayu Tok Sira itu, jelasnya, tidak diganti kerana mengambil kira kawasan Rizab Melayu yang telah diwartakan melebihi daripada Kawasan Rizab Melayu asal.

Soalan dan jawapan bertulis dari MB Pahang yang mengesahkan tanah dibeli oleh anak syarikat kerajaan negeri Pahang.

 

TAGS