Kerajaan Negeri Melaka wajar meneliti semula dan membatalkan tujuh projek “gajah putih” yang dirancangkan di bawah Zon Pembangunan Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (MWEZ) dan peruntukan itu lebih baik digunakan untuk infrastruktur asas seperi tebatan banjir dan agro makanan.
Baru-baru ini, kerajaan negeri Melaka telah menerbitkan pelan tindakan ataupun blueprint untuk MWEZ, walaupun projek tersebut telah dilancarkan lebih setahun lalu iaitu pada April 2021.
Menurut Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong setelah meneliti blueprint tersebut beliau mendapati pelbagai projek “gajah putih” yang dicadangkan, antaranya seperti berikut:
(1) Menara Ikonik MWEZ setinggi 200 metre
(2) Pintu Gerbang “Selamat Datang”
(3) 22 buah jambatan dengan kos RM216 juta
(4) MWEZ Sky Wheel roda pemerhati raksasa
(5) Chalet atas air
(6) Puluhan pejabat dan kondomium mewah
(7) Water Canal (Terusan air) ala Venice
Ketika melancarkan projek MWEZ pada April 2021, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, telah menyatakan bahawa MWEZ adalah penting untuk pertumbuhan ekonomi negeri Melaka dan akan memanfaatkan rakyat.
“Namun adakah projek-projek gajah putih sebegini akan memberi manfaat kepada rakyat?

“Contohnya, cadangan untuk membina 22 buah jambatan dengan kos RM216 juta adalah tidak masuk akal sama sekali.
“Wang yang sebegitu besar boleh digunakan untuk membangunkan infrastruktur asas lain seperti projek tebatan banjir dan agro-makanan yang jauh lebih bermanfaat kepada rakyat,” kata beliau dalam kenyataan.
Sebelum ini, kerajaan di bawah pimpinan BN juga pernah melancarkan projek Melaka Gateway pada tahun 2014 yang dikatakan boleh membawa masuk pelaburan berpuluh-puluh billion dan menjana 40,000 peluang pekerjaan.
Hari ini katanya, projek tersebut bagaikan “hidup segan mati tak mahu” dan telah menyebabkkan pencemaran yang teruk.
Tegasnya, tidak dinafikan dalam blueprint MWEZ terdapat beberapa elemen yang baik seperti ‘transit-oriented development’ (TOD), taman rekreasi, dan bandar pintar, cadangan ini harus diutamakan dan boleh dilaksanakan tanpa perlu projek gajah putih MWEZ ini.
Hakikatnya MWEZ merupakan projek tambakan laut yang terbesar di Malaysia iaitu seluas 25,000 ekar dan sepanjang 33km pesisir pantai negeri Melaka. Ini memberi kesan yang sangat besar kepada kemapanan alam sekitar.
Negeri Melaka mempunyai pesisir pantai yang amat indah termasuklah warisan sejarah dan kebudayaan yang unik. Kerajaan seharusnya menggunakan keunikan semula jadi yang ada di Melaka dan bukan membazirkan wang terhadap projek-projek gajah putih di bawah MWEZ.
Baca juga: Lonjakan inflasi makanan: Kerajaan disaran panggil sidang tergempar Parlimen
Baca juga: Tembakan dan letupan bom di Tak Bai sasarkan pihak berkuasa