Malaysia Dateline

Batalkan cuti Thaipusam membuta tuli, kata AMK

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) mendesak agar Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Mohd Nor menarik semula keputusannya yang membatalkan cuti perayaan Thaipusam di negeri itu.

Ketuanya, Akmal Nasir berkata, keputusan yang dianggap membuta tuli itu adalah tidak wajar dan tidak rasional serta perlu ditarik semula kerana ia berpotensi menyuburkan api perkauman.

Katanya, apa yang dilakukan Sanusi memberi petunjuk bahawa tidak mustahil cuti sambutan Tahun Baru Cina dan Hari Raya juga akan ditarik balik dengan alasan yang sama.

“Kenyataan tidak bertanggungjawab MB Kedah ini memberi petunjuk jelas bahawa beliau tidak menjiwai semangat kemajmukan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama.

“Tambah memalukan lagi apabila beliau yang mewakili parti Pas kononnya adalah cerminan kepada pendekatan Kerajaan Melayu-Islam sebenarnya, telah memberikan gambaran tidak baik terhadap Melayu-Islam pada kaca mata masyarakat bukan Islam di Malaysia.

“Alasan sudah terlalu banyak cuti kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sebagainya, amat tidak rasional dan tidak wajar,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Akmal juga mengingatkan Sanusi babawa masyarakat India mempunyai sumbangan besar kepada negeri yang perlu diberi penghormatan melalui cuti perayaan yang mereka sambut.