Malaysia Dateline

Batalkan larangan eksport vaksin Covid-19, hormati hak negara membangun

Pasukan Petugas Imunisasi Pakatan Harapan (PH) bimbang dengan keputusan Kesatuan Eropah (EU) yang mengenakan sekatan dan melarang pengeksportan vaksin Covid-19 yang dihasilkan di negara-negara EU.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bersama lapan ahli lain, mereka menggesa agar EU menghormati hak negara membangun untuk mendapatkan akses kepada vaksin Covid-19.

Menurutnya, dasar yang dilakukan UE dikhuatiri akan menimbulkan rasa bimbang terhadap kemungkinan lahirnya semangat ‘nasionalisme vaksin’ (vaccine nationalism) di negara-negara pengeluar vaksin.

“Kami berdiri bersama semua negara membangun yang lain dalam menggesa negara-negara pengeluar vaksin untuk menghormati kontrak yang telah ditandatangani antara negara-negara dan syarikat vaksin, dan tidak mengenakan sebarang sekatan eksport.

“Pada waktu pandemik global ini, semua negara perlu bekerjasama untuk menyelesaikan masalah kekurangan vaksin dalam semangat kemanusiaan, kesaksamaan peluang dan menghormati perjanjian.

“Keputusan EU ini sudah pasti akan memberi kesan kepada Program Vaksinasi Covid-19 di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama antara Dzulkefly; bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye; Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching); Dr Hatta Ramli (Lumut); Sim Tze Tzin (Bayan Baru); dan Dr Ong Kian Ming (Bangi)

Turut serta Exco Kesihatan kerajaan negeri iaitu Dr Siti Mariah Mahmud (Selangor); Dr Norlela Ariffin (Pulau Pinang) Veerapan (Negeri Sembilan).

Pada masa sama, Pasukan Petugas Imunisasi PH juga menggesa kerajaan Malaysia untuk segera menjelaskan status dan kesan sekatan itu terhadap Program Vaksinasi Kebangsaan bagi Covid-19.

PH berkata, berdasarkan laporan, Malaysia tidak termasuk dalam senarai 120 negara yang dikecualikan dari sekatan eksport lebih ketat bagi vaksin Covid-19 yang dihasilkan di EU.

EU juga dilapor telah mengenakan kawalan eksport lebih awal terhadap vaksin Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca yang terpakai di antara 30 Januari hingga 31 Mac.

Menurut PH, tindakan tersebut dipercayai akan memberi kesan kepada Malaysia kerana vaksin Pfizer yang ditempah dihasilkan di Belgium.

“Kerajaan Malaysia perlu memberi penjelasan kepada rakyat tentang kemungkinan kesan sekatan ini lebih-lebih lagi kerana Malaysia dijangka menerima 144,000 dos vaksin Pfizer bulan ini, dan program vaksinasi kebangsaan bagi Covid-19 dijangka bermula bulan ini juga.

“Tambahan pula, Malaysia dijadual untuk menerima 6.4 juta dos vaksin AstraZeneca seawal April sebagai tambahan kepada bekalan vaksin Pfizer untuk fasa vaksinasi berikutnya,” kata PH.

Walaupun kerajaan mempunyai portfolio vaksin lain termasuk vaksin Sinovac dari China yang dijangka tiba dalam suku pertama tahun ini, tambah PH, namun ia belum diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) yang biasanya akan mengambil tempoh 60 hingga 90 hari untuk diluluskan.