Malaysia Dateline

Batalkan peruntukan Projek Sistem Kereta Kabel Bukit Bendera, langkah balas dendam PN

Pemuda AMANAH Nasional menyifatkan keputusan kerajaan pusat membatalkan peruntukan Bajet 2020 berjumlah RM100 juta bagi membangun Sistem Kereta Kabel Bukit Bendera adalah langkah balas dendam, mengembalikan era Umno-BN berkuasa.

Bendaharinya, Mohd Saifullah Abd Nasir berkata, projek kereta kabel ini dijangka mampu menarik pengunjung melangkaui perkhidmatan keretapi sedia ada yang telah menarik seramai 1.74 juta pengunjung pada tahun 2018.

Katanya, langkah yang disebut sebagai menghukum rakyat Pulau Pinang oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow itu turut membuktikan bahawa kerajaan PN gagal menjunjung semangat persekutuan yang termeterai antara kerajaan pusat dan negeri-negeri.

“Pasca musibah pandemik Covid-19, dengan kesan berangkai yang telah dan bakal menjejaskan ekonomi negara dan dunia, kerajaan sepatutnya berfikir ke arah merancakkan penjanaan permintaan dalam pasaran tempatan.

“Menyuarakan pandangan suram ini untuk Malaysia, Bank Dunia telah menyemak semula ramalan pertumbuhan 4.5% untuk tahun 2020 kepada 0.1%.

“Dari segi pekerjaan pula, Malaysian Institute of Economic Research (MIER) menganggarkan bahawa kira-kira 2.4 juta orang bakal kehilangan pekerjaan.

“Projek infrastruktur awam yang ikonik seperti ini sudah tentu mampu memberi kesan positif terhadap pasaran tempatan.” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Malangnya tambah beliau, kerajaan memilih bermain politik dengan menidakkan peluang pekerjaan baru dan rangsangan ekonomi tempatan melalui pelancongan domestik yang mana Pulau Pinang merupakan antara lokasi tumpuan pelancong domestik.

Ujar Mohd Saifullah, menurut laporan Malaysian Investment Development Authority (MIDA) pelaburan langsung asing (FDI) tahun 2019 menunjukkan Pulau Pinang merekodkan pelaburan tinggi hampir 16.9 billion.

Menurutnya, Kerajaan PN gagal memanfaatkan ekosistem ekonomi Pulau Pinang yang berjaya menarik pelaburan asing ini.

“Meski pun tanpa sumber asli, Pulau Pinang terbukti mempunyai tenaga kerja yang berbakat dan berkemahiran tinggi.

“Meski pun menjadi penyumbang utama kepada FDI negara, kerajaan PN terbukti menghukum rakyat Pulau Pinang dengan menidakkan pembangunan projek kereta kabel ini,” katanya lagi.

Keputusan pembatalan ini kata beliau, tidak lain bermotif politik dan tindakan buli yang tidak dipraktiskan oleh Pakatan Harapan semasa menjadi kerajaan pusat.

Jelasnya, amalan ini juga seolah-olah membawa kita kembali ke zaman Umno berkuasa dahulu.

“Untuk rekod, kerajaan PH melalui Kementerian Kewangan telah menyalurkan bantuan kepada kerajaan Kelantan sebanyak RM400 juta bertujuan meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Kelantan.

“Ini jelas menunjukkan PH lebih kompeten dan menjunjung federalisme dalam membantu pentadbiran negeri-negeri.

“Sepatutnya, kerajaan PN bertindak pro-rakyat tanpa mengira sentimen politik dalam sama-sama menjana kembali ekonomi negara pasca musibah Covid-19. Ia tambah menyedihkan apabila kerajaan PN ini masih meraba-raba dalam membuktikan keabsahannya sehingga meninggalkan tugas hakikinya dalam menjaga kesejahteraan rakyat,” katanya.

Kata beliau, pencapaian kerajaan PN sejak “menebuk atap” Putrajaya masih tiada lain hanya mengagih ghanimah jawatan menteri dan GLC, sedang rakyat bergelumang dengan ekonomi yang merosot, diberhentikan kerja dan kesan lain pasca Covid-19, kerajaan PN sibuk berpolitik tanpa menghirau semua ini.

Memetik laporan Malaysiakini semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menyuarakan kekecewaannya berkenaan pembatalan peruntukan persekutuan berjumlah RM100 juta bagi membangunkan sistem kereta kabel di Bukit Bendera.

Chow berkata pembatalan itu pastinya memberi kesan kepada Pulau Pinang.

“Ia bukan saja kesan terhadap penerusan pelan pembangunan Bukit Bendera, tetapi juga ekonomi negeri secara umumnya.

“Kerajaan persekutuan seperti menghukum penduduk Pulau Pinang dengan langkah ini,” katanya dalam satu sidang media.