Batalkan projek ECRL ekoran laporan WSJ

Batalkan projek ECRL  ekoran laporan WSJ

Pemuda AMANAH berkata segala perbincangan dengan China melalui program ‘One Belt One Road’ (Obor) membabitkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) perlu dihentikan sementara sehingga siasatan selesai dijalankan.

Timbalannya Faiz Fadzil berkata, sekiranya dakwaan WSJ didapati tidak benar, maka projek ECRL seharusnya dibatalkan serta merta kerana kontrak berkenaan mengandungi unsur penipuan dan penyelewengan serta dianugerahkan secara tidak adil.

Lantaran itu ujarnya, adalah lebih adil seandainya projek ECRL tersebut dibatalkan secara menyeluruh kerana ia tidak menguntungkan negara dan tidak berdaya maju.

“Selain projek ECRL, kerajaan juga harus menyiasat semula semua projek yang melibatkan kerajaan China atau syarikat-syarikat negara itu di Malaysia, khususnya projek yang dianugerahkan oleh pentadbiran Najib sejak beberapa tahun yang lalu.

“Pemuda AMANAH juga berharap tindakan tegas diambil terhadap Najib serta semua individu terlibat dalam meluluskan projek-projek berkenaan.

“Tindakan ini amat penting bagi memastikan unsur kleptokrasi seperti ini tidak berulang lagi pada masa hadapan serta keluhuran undang-undang dapat ditegakkan, ” ujarnya dalam kenyataan.

Sehubungan itu kata Faiz, bekas menteri kabinet seharusnya lebih bertanggungjawab untuk menjawab isu ini kepada rakyat dan bukannya melepaskan diri dengan alasan urusniaga dengan negara China tidak pernah dimaklumkan kepada kabinet.

Faiz yang juga Adun Permatan Pasir berkata, Pemuda AMANAH memandang serius laporan terbaru Wall Street Journal (WSJ) itu yang mendakwa kerajaan BN terdahulu telah menganugerahkan kontrak-kontrak infrastruktur bernilai puluhan bilion ringgit kepada negara China dalam meluaskan program OBOR sebagai ganjaran bagi menutup skandal 1MDB.

Loading...

“Laporan WSJ mengejutkan rakyat negara ini kerana ia jelas menunjukkan wang rakyat telah disalahguna bagi menutup kepincangan kerajaan terdahulu.

“Oleh kerana itu adalah diharapkan kerajaan Pakatan Harapan kini dapat menyiasat dan mengesahkan laporan yang dikeluarkan oleh WSJ dengan kadar segera.

“Ianya amat penting kerana melibatkan imej dan kedaulatan negara, ” jelasnya lagi.

WSJ mendakwa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib, telah meluluskan beberapa kontrak berjumlah US$34 bilion (RM140 bilion) kepada syarikat-syarikat China dalam tempoh hanya beberapa bulan selepas janji tersebut dibuat.

Memetik minit mesyuarat antara pegawai-pegawai China dan Malaysia pada tahun 2016, WSJ melaporkan pegawai negara ini telah diberitahu oleh pegawai China bahawa kerajaan negara itu akan menggunakan pengaruhnya bagi memastikan negara lain termasuk Amerika Syarikat menggugurkan siasatan keatas 1MDB.

Bagaimanapun China semalam dalam kenyataan menafikan laporan WSJ yang mengatakan bahawa wakil rasmi China pernah menawarkan bantuan kewangan untuk menyelamatkan 1MDB dan mengusahakan untuk mendapatkan Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara lain untuk menghentikan siasatan terhadap 1MDB.