Malaysia Dateline

Batasi unsur penyalahgunaan kuasa, titah Majlis Raja-raja Melayu

Majlis Raja-raja Melayu yang bermesyuarat hari ini mengambil keputusan untuk membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa.

“Raja-raja berpendirian, pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara pelbagai cabang kerajaan dan peranan Seri Paduka Baginda untuk mengimbangkan pelbagai tuntutan demi berlakunya keadilan dan membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa.

“Raja-raja turut menegaskan pentingnya prinsip Raja Berpelembagaan dan demokrasi berparlimen diterjemah melalui budaya pemerintahan yang pada setiap masa meluhurkan Perlembagaan Negara dan mendaulatkan undang-undang dan mengutamakan kebajikan rakyat jelata,” kata Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad yang dikeluarkan dengan titah Majlis Raja-raja.

Menurut kenyataan itu, sembilan Raja-raja Melayu menyertai mesyuarat yang diadakan di Istana Negara petang tadi itu.

Mereka adalah DYMM Yang Dipertuan Agong, Sultan Terengganu, Raja Perlis, Sultan Selangor, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Sultan Johor, Sultan Perak, Sultan Kedah dan Pemangku Raja Pahang.

Dalam mesuarat itu, kata kenyataan itu, Yang Dipertuan Agong memaklumkan Raja-raja tentang keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang pada 23 Oktober 2020, memohon perkenan baginda untuk mengistiharkan darurat berdasarkan perkara 150 Perlembagaan Malaysia.

“Berpandukan prinsip raja berpelembagaan – demokrasi berparlimen, di samping memahami keseriusan implikasi daripada permohonan tersebut terhadap imej negara, pandangan dunia antara bangsa, keyakinan para pelabur dari luar dan dalam negara, serta aspek kemakmuran negara dan kehidupoan rakyat jelata, baginda dengan kearifan dan bijaksana berpendirian amat pe nting untuk perkara tersebut dibincangkan secara bersama dengan Raja-raja Pemerintah,” kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan Yang Dipertuan Agong sebelum ini, Baginda menolak permohonan Kabinet Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengistiharkan darurat.