Malaysia Dateline

Batu Pahat diminta selamatkan keluarga, jiran tetangga dengan patuhi arahan

Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor, Aminolhuda Hassan hari ini berpesan agar rakyat di seluruh negeri Johor mematuhi segala nasihat keselamatan dan kesihatan yang dikeluarkan kepada mereka.

Dalam ucapan video yang berdurasi 5:59 minit itu, beliau turut menerangkan keadaan yang berlaku di Batu Pahat, Johor yang ditetapkan sebagai kawasan zon merah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 1 April 2020 yang lalu.

“Zon merah akan diisytiharkan oleh KKM berikutan peningkatan pesakit Covid 19 dan ini termasuk daerah Batu Pahat.

“Sekiranya pesakit di sesuatu daerah itu melebihi angka 41 orang pesakit maka akan ada pengisytiharaan ‘zon merah’ dan ini turut membabitkan daerah Batu Pahat di mana pada 1 April 2020, Batu Pahat telah merekodkan seramai 44 orang pesakit.

“Saya menyeru agar semua pihak mematuhi peraturan PKP supaya kita dapat mengekang Covid 19 ini sekaligus ia dapat menyelamatkan keluarga, jiran-jiran kita dan juga seluruh masyarakat,” katanya.

Beliau yang juga Adun Parit Yaani, Batu Pahat Johor mengingatkan agar masa terluang di rumah boleh dimanfaat dengan perkara-perkara yang memberi kesan positif kepada diri.

Selain itu, beliau juga turut mengajak umat Islam di negeri Johor untuk memperbanyakkan membaca Al-Quran sebagai pengisian baik sebagai umat Islam.

“Bersempena hari Jumaat yang mulia ini, marilah kita perbanyakkan membaca surah Al-Kahfi bagi umat Islam seperti saranan Rasulullah SAW kepada umatnya.

“Bagi anak muda isikanlah masa terluang ini dengan perkara yang bermanfaat seperti membaca buku dan cara yang lain untuk penambahan ilmu kepada diri sendiri.

“Berilah kerjasama yang baik kepada petugas-petugas keselamatan sekiranya kita terpaksa keluar untuk membeli keperluan harian dan sebagainya,” katanya lagi.

Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada 3 orang korban Covid 19 semalam yang ke semuanya adalah kes yang berlaku di Johor.