Malaysia Dateline

Bawa balik abu mayat perlu maklumkan kepada Jabatan Kastam

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu berdasarkan panduan membawa balik dan keluar abu mayat, ahli keluarga atau sesiapa sahaja perlu memaklumkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Menurutnya, kerajaan tidak pernah membenarkan abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, dibawa pulang ke negara ini.

“Persoalannya, adakah pihak terbabit telah memaklumkan perkara itu atau ia diseludup masuk ke negara kita dengan tidak diketahui pihak berkuasa.

“Yang pasti, kita tidak mengetahui langsung (abu Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia). Kita hanya tahu selepas keluarga atau sahabat handai membuat kenyataan,” dipetik Bernama hari ini.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berada di Bangkok untuk ​​​​​​​menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan ke-13 (AMMTC) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan.

Mengulas lanjut, beliau berkata beberapa pihak telah membuat laporan polis dan perkara itu akan disiasat secara terperinci dan tindakan sewajarnya akan diambil.

“Kita tidak mahu melihat isu ini berbangkit dan menimbulkan kemarahan terutama terhadap keluarga mangsa keganasan komunis, sama ada secara langsung dengan Chin Peng atau gerakan komunis pada zaman darurat dahulu,” tegasnya.

Dalam hal berkaitan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata pihaknya bersama Polis Kontinjen Perak sedang menjalankan siasatan lanjut bagaimana abu mayat berkenaan boleh lolos ke Malaysia dari Thailand.

“Kita sedang siasat bagaimana cara abu mayat itu dibawa masuk ke sini, termasuk kemungkinan ia dibawa masuk secara rahsia.

“Buat masa ini, kita tidak akan dedahkan hasil siasatan kerana masih terlalu awal, tetapi kita sudah kenal pasti laluan dan bila,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Menurut Huzir, laporan media dan perbuatan membawa masuk abu mayat bekas pemimpin PKM itu jelas boleh menggugat ketenteraman awam.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya lagi.

Semalam, abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dilapor telah dibawa masuk pulang ke Malaysia pada 16 September lalu.

Abu mayat mendiang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) itu ditabur ke laut berhampiran Lumut, Perak dan di hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.

Sebelum itu, satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan menyambut ketibaan abu mayat itu di Ipoh, Perak pada 16 September lalu.

Chin Peng yang lahir di Sitiawan, Perak meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada tahun 2013 ketika berusia 89 tahun.

Kerajaan pada ketika itu telah memutuskan larangan bagi membawa mayat atau pun abunya pulang ke Malaysia untuk disemadikan.