Bawa botol harga RM229 ke sekolah, budak selamba je letak dekat luar perpustakaan

Oleh KIM SYAZIE

Tabiat minum air kosong sekurangnya lapan gelas sehari amat penting terutamanya bagi kanak kanak untuk memastikan mereka kekal bertenaga dan aktif di sekolah jadi membawa botol air ke sekolah itu penting.

Amalan ini juga mampu menghilangkan rasa mengantuk ketika menghadiri kelas serta mengatasi penyahhidratan atau kurangnya air dalam badan akibat cuaca panas atau aktiviti bersukan.

Oleh yang demikian, murid sentiasa digalakkan membawa botol air masing-masing setiap hari ke sekolah.

Namun, tindakan seorang pelajar sekolah rendah meninggalkan botol air di luar perpustakaan sekolahnya mendapat perhatian pengguna sosial media semalam.

Manakan tidak, botol air logam keluli tahan karat yang diletakkan di rak kasut itu sebenarnya bernilai mencecah ratusan ringgit.

Ramai yang tidak menyangka pelajar sekolah mampu membawa botol air semahal itu ke sekolah dan mengandaikan bahawa botol itu sebenarnya milik ayah pelajar.

“Anak siapa la ni selamba rembat botol air ayah dia bawak pergi sekolah lepas tu letak luar perpustakaan je,” kongsi seorang pengguna yang memuat turun gambar tersebut.

Botol air berjenama Stanley yang dicipta oleh syarikat peralatan perkhemahan ini dijual di atas talian dengan harga RM 229.

Maka tidak hairanlah apabila ada pengguna yang berseloroh sekiranya botol itu hilang, ada kemungkinan guru yang mencurinya.

“Ini kalau hilang bukan budak yang rembat, cikgu yang rembat”, kata pengguna bernama IamAzlxn.

“Stanley tumbler? Hati kau memang keras adik letak luar macam itu sahaja,” kata pengguna lain.

Tumbler Stanley yang dilancarkan pada tahun 2016 ini mula popular apabila sering diiklankan oleh pempengaruh sosial media di luar negara.

Baca juga: Anak PM dibuli samseng jalan raya, risau keselamatan anak berusia 2 tahun