Malaysia Dateline

‘Bawa botol kalau nak kencing, jangan singgah’, kata Setpol MB Kedah

Setiausaha politik Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Noor pagi ini dilihat terus ‘koyak’ berhubung dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dengan memandu uji kereta di sebuah pusat pameran kereta di Juru, Pulau Pinang.

Afnan Hamimi Taib Azamuddin yang juga Naib Ketua Pemuda Pas secara menyindir berkata, ada pihak yang menasihatkannya agar menasihatkan pula Sanusi membawa botol jika hendak membuang air kecil.

“Ada kawan suruh saya nasihat kat MB. Dia kata, lepas ni nak pi mana-mana bawak botoi kalau nak kencing, jangan singgah.

“Kalau lapaq, makan ja apa yang ada dekat kereta tu, jangan singgah. Kalau nak singgah jugak, tanya dulu dalam FB, kat mana yang patut singgah,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Anak kepada bekas Imam Besar Masjid Negara, Datuk Taib Azamudden Md Taib itu juga menyertakan gambar sejumlah botol kosong dengan mendapat lebih 350 reaksi kebanyakannya emoji ketawa.

Terdahulu, tular dakwaan bahawa Sanusi berada di pusat jualan kereta dan memandu uji sebuah kenderaan di situ.

Afnan Hamimi dalam reaksinya malam tadi berkata, Sanusi dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dan singgah di Juru untuk membeli bekalan makanan susulan kawasan rehat dan rawat (R&R) ditutup.

Jelasnya, kebetulan kedai tempat membeli makanan di Juru itu berdekatan dengan pusat pameran kereta dan ia tidak beroperasi.

“Ada seorang jurujual duk susun kereta Ford Ranger di luar show room. Menteri besar pi jengok kereta itu. Bukan pi nak beli. Saja nak pi tengok. Minat. Kalau pi hendap-hendap satgi orang tengok pelik pulak.

“Walaupun show room tutup, salesman tu bersopan, layan orang yang mai sambil-sambil duk alih kereta-kereta tu. Dia tahu waktu ini tak boleh berniaga. SOP PKP. Orang berniaga, macam tu la,” kata Afnan Hamimi.

Pagi ini pula, dia yang pernah dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang itu menambah dengan penegasan usah singgah.

“Kalau nak singgah jugak, tutup mata tu dengan kain hitam tiga empat lapis, jangan bagi tengok kiri kanan atas bawah.

“Kalau nak kencin, bagi orang pimpin pegang tangan MB tu masuk tandas. Lepas tu terus masuk dalam kereta, jangan singgah.

“Yang penting, terus pi tempat nak tuju, jangan singgah. Bernas jugak idea ni,” katanya lagi yang kemudian menerima kecaman warganet.