Malaysia Dateline

Bawa dalam perbincangan kerjasama dengan Umno, kata Mat Sabu

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menyelar sikap Pas yang dianggap menjalin kerjasama dengan Umno dalam ‘gelap’.

Menurutnya, hal tersebut tidak wajar berlaku memandangkan kerjasama politik sebelum ini antaranya pembentukan Pakatan Rakyat berlaku melalui perbincangan terbuka.

“Bukan (Pas) salah untuk bersama dengan Umno. Yang pentingnya bawa dalam perbincangan.

“Kenapa dengan Umno sembunyi-sembunyi? Kalau keputusan baik kita setuju. Kalau bersama dengan Umno, lama saya sudah jadi menteri,” ujarnya secara berseloroh.

Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden Pas berkata, sikap parti tersebut berhubung kerjasama dengan Umno yang tidak telus sebelum ini menyebabkan berlakunya keadaan tidak harmoni dan tuduh-menuduh.

Mengulas rampasan beberapa kenderaan mewah oleh SPRM hari ini, Mohamad yang mesra dipanggil Mat Sabu berkata siasatan akan terus berjalan.

“Kita akan lihat (kes) akan terdedah satu-persatu,” katanya dalam ceramah mega Pakatan Harapan (PH) bersebelahan Tesco Semenyih malam ini.

Menteri Pertahanan itu turut menjadikan Pulau Pinang sebagai contoh bagaimana isu kaum dan agama yang dimainkan gagal menjatuhkan kerajaan negeri PH yang sebelum ini dikenali sebagai Pakatan Rakyat.

“Kita lihat perkembangan orang yang menyokong PH sangat perlahan.

“Tapi lihat Pulau Pinang. Kita terus buat kerja. Peruntukan untuk imam-imam dan sekolah agama meningkat.

“Mereka (Umno) terus hantar memorandum mendakwa tidak boleh azan, tapi datang PRU 2018, BN hanya tinggal dua kerusi Dun dan satu Parlimen saja.

“Begitulah juga di kerajaan Persekutuan ini,” katanya dalam ceramah pada kempen PRK Dun Semenyih yang hanya berbaki sehari sahaja lagi.