Malaysia Dateline

Bawa isu kartel polis kepada menteri terlibat kartel rampas mandat rakyat

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Mahfuz Omar secara sinis mempersoal bagaimana untuk Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador melaporkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) berhubung isu kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, hal tersebut memandangkan Pengerusi SPP sendiri ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

“Macam mana nak bawa kepada SPP yang menteri jadi Pengerusi sedangkan menteri pun terlibat dalam kartel politik merampas mandat rakyat,” katanya di Twitter.

Mahfuz berkata demikian mengulas kenyataan Hamzah yang berkata, Abdul Hamid perlu melaporkan kepada SPP berhubung dakwaan mengenai kartel dalam PDRM dan gerakan dalaman pegawai muda PDRM yang mahu menjatuhkan Ketua Polis Negara itu.

Hamzah dilapor hari ini berkata, Abdul Hamid tidak pernah membawa isu kartel itu kepada SPP dan ini merupakan kali pertama Ahli Parlimen Larut dari Bersatu itu mendengar ‘ada kartel dalam PDRM.’

Semalam, Abdul Hamid menerusi program ‘Sinar Live bersama IGP’ mendedahkan bahawa wujud gerakan dalam kalangan pegawai muda PDRM yang bercita-cita untuk menjatuhkannya.

Beliau turut mendedahkan gerakan itu juga merupakan kumpulan sama yang mendalangi kartel dalam PDRM dengan hasrat mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan mereka.

Mengulas lanjut, Mahfuz menegaskan dakwaan Abdul Hamid itu menggerunkan rakyat memandangkan institusi keselamatan negara berada dalam keadaan politiking yang dahsyat.

“Apakah kartel dalam PDRM sama seperti Langkah Sheraton? Siapakah yg mendalangi kartel PDRM?

“Adakah kuasa politik seperti Langkah Sheraton sehingga jual beli pelacur MP di pasaran bebas tanpa tindakn PDRM?” bidasnya lagi.