Malaysia Dateline

Bawa masuk nelayan asing bakal ancam peluang kerja nelayan tempatan

Bekas Pengerusi Lembaga Ikan Malaysia (LKIM), Faiz Fadzil menyifatkan cadangan pengambilan nelayan asing untuk menampung kekurangan bekalan hasil laut hanyalah langkah sementara dan jangka pendek.

Beliau berkata, langkah itu jika diteruskan, boleh mengancam peluang nelayan tempatan dalam tangkapan ikan serta mengundang masalah sosial apatah lagi ketika wabak Covid-19 masih lagi meningkat.

Menurutnya, persoalan paling utama adalah bagaimana kerajaan boleh memastikan tiadanya ketirisan sumber laut negara dan penyeludupan hasil laut jika nelayan asing diambil bekerja.

“Solusi jangka panjang perlu diberi perhatian oleh kerajaan dengan menumpukan usaha memodenkan nelayan. Kerajaan boleh memperuntukkan bajet khas pembelian vesel dan peralatan bagi laut dalam.

“Selain itu, kerajaan perlu melatih seramai mungkin nelayan tempatan untuk menceburi bidang ini.

“Bidang ini mampu menarik minat lebih ramai golongan nelayan terutama golongan muda anak nelayan jika insentif khas diberikan bagi menjamin sekuriti makanan negara,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan Pengerusi LKIM, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang memaklumkan pihaknya sudah sudah berjumpa dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi mendapatkan kelulusan membawa masuk pekerja warga asing dari Thailand dan Vietnam.

Ini susulan pendaratan hasil laut di seluruh negara yang dilaporkan merosot lebih 10 peratus dalam menampung permintaan harian sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.

Syed Abu Hussin berkata, LKIM mendapati nelayan tempatan menunjukkan reaksi kurang minat selain tidak mampu beroperasi kerana perlu berada di laut untuk tempoh yang lama antara seminggu hingga dua minggu.

Sementara itu Faiz berkata, isu kemerosotan bekalan ikan dalam negara bukan isu baru, bahkan kekurangan ikan akan meningkat pada musim tengkujuh tidak lama lagi di mana nelayan pantai timur tidak dapat ke laut

Justeru katanya, bagi menangani masalah ini, simpanan ikan yang banyak perlu diberi perhatian oleh LKIM dengan menambah bilik sejuk (cold room) supaya stok ikan disimpan cukup untuk menampung permintaan ikan.

“Sebaiknya, kerajaan melalui LKIM melaksanakan Guaranteed Buy Back Scheme untuk membeli semua ikan lebihan yang ditangkap oleh nelayan sepanjang tempoh lebihan ikan sebelum ini,” katanya lagi.