Bawa nasib baik kepada negara, Vietnam guna kucing sebagai simbolik Tahun Baru Cina

Oleh KIM SYAZIE

Saban tahun, negara di serata dunia termasuk di Malaysia akan dilanda lautan merah iaitu limpahan pelbagai hiasan bersempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina.

Pada tahun ini pula, kedai-kedai dan tempat tumpuan di negara dihiasi dengan hiasan dan patung yang bertemakan arnab.

Namun jangan terkejut apabila menjejaki negara Vietnam apabila negara tersebut dipenuhi dengan dekorasi dan boneka binatang peliharaan kegemaran manusia, kucing.

Hal ini berikutan, negara itu menyambut tahun Kucing pada tahun ini dan bukanlah arnab seperti di tanah air kita.

Umum mengetahui, terdapat 12 binatang yang mewakili zodiak dalam kalendar Cina iaitu tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam jantan, anjing dan babi.

Namun, daripada 12 binatang tersebut, hanya 10 binatang yang berkongsi zodiak yang sama dengan kalendar tahun baru Vietnam kecuali arnab dan lembu.

Situasi ini dikatakan berpunca dari perkataan arnab di dalam bahasa Mandarin iaitu ‘mao’ yang berkongsi bunyi sama dengan ‘meo’ iaitu kucing dalam bahasa Vietnam.

Terdapat juga teori lain yang berpendapat bahawa asal usul pemilihan kucing sebagai zodiak bermula dengan kepercayaan yang dibawa oleh masyarakat petani di negara itu.

Menurut pakar dalam budaya tradisi Vietnam, Nguyen Hiew Tin, masyarakat petani amat menghargai ladang padi dan kehadiran haiwan seperti tikus telah menganggu kualiti ladang.

Maka haiwan ‘bulus’ seperti kucing dilihat mampu menyelamatkan keadaan.

“Padi adalah bahagian penting dalam pertanian Vietnam, namun dengan ancaman tikus di sawah, kucing (yang memburunya) adalah haiwan popular bagi rakyat Vietnam,” katanya kepada AFP.

Zodiak kucing dipercayai membawa nasib baik dan kelancaran dalam budaya Vietnam manakala arnab melambangkan umur yang panjang, keamanan dan kemakmuran dalam budaya Cina.

Baca juga: Batal majlis 2 hari sebelum kahwin, wanita saman bekas tunang lebih RM800,000