Malaysia Dateline

Bawa pulang abu mayat Chin Peng, tidak ubah sejarah mendiang adalah pengganas

‘Walaupun hanya abu mayat, tetapi kita perlu jelas bahawa Chin Peng daripada segi sejarahnya adalah pengganas dalam negara kita.”

Demikian ujar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ditanya pemberita berhubung isu kontroversi yang sedang melanda negara pada ketika ini.

Ismail menambah, membenarkan abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) itu dibawa pulang ke Malaysia, tidak menukar sejarah bahawa beliau adalah pengganas yang terlibat dalam banyak insiden ketika komunis mengganas dan bertempur dengan tentera.

“Membawa balik abu mayat itu sebenarnya tidak menghormati ramai anggota tentera dan keluarga mereka. Walaupun ada anggota tentera yang sudah meninggal, tetapi keluarga mereka masih ada.

“Mungkin isteri anak dan cucu mereka juga masih ada. Secara peribadi saya tidak setuju dan kesal dengan perkara ini.

“Yang rakyat mempersoalkan adalah mereka membawa abu mayat itu secara senyap senyap. Ia bermakna melanggar perintah yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Ismail mengulas demikian ketika ditanya pemberita mengenai pandangannya berhubung abu mayat Chin Peng yang dibawa masuk ke negara ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bera itu menjelaskan, ketika zaman pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN), halangan untuk membawa pulang abu mayat mendiang telah diputuskan di peringkat Kabinet dan tidak dibenarkan dibawa pulang.

“Saya difahamkan, larangan itu masih kekal sehingga ke hari ini dan saya terbaca kenyataan Timbalan Menteri KDN mengatakan kerajaan juga masih kekal dengan dasar lama.

“Saya tidak tahu apa tindakan kementerian selepas ini. Kita juga nak tahu apa tindakan kerajaan. Jumaat ini Umno akan mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi, mungkin kita akan membincangkan perkara ini,” ujarnya.