
Langkah Malindo Air memulakan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Labuan 2 Ogos ini telah menimbulkan keghairahan baru kepada penduduk Labuan khasnya nelayan di pulau itu.
Ini kerana, buat pertama kalinya syarikat penerbangan membenarkan ikan segar dibawa menaiki penerbangan mereka dengan caj yang sangat berpatutan iaitu RM20 sahaja untuk 25 kg ikan segar.
Dengan tindakan ini, nelayan dan pekerja industri perikanan yang menjadi darah daging penduduk asal pulau itu bakal menikmati hasilnya.
Melindo Air akan memulakan penerbangan ke Labuan mulai 2 Ogos ini dan akan dilancarkan sendiri oleh Menteri Wilayah Khalid Samad.
Khalid dijangka akan membuat pelepasan penerbangan pertama itu di KLIA kira-kira jam 12.00 tengahari 2 Ogos ini.
Pekerjaan penduduk asal pulau Labuan adalah nelayan sebelum industri minyak dan gas serta pembuatan kapal mengambil tempat.

Di Labuan ada empat syarikat utama yang mengusahakan tangkapan ikan secara besar-besaran di samping ramai nelayan pantai yang menangkap ikan bilis dan lain-lain.
Harga ikan di sini jauh lebih murah berbanding dengan Semenanjung. Ikan Janahak misalnya dijual dengan hanya RM20-25 di pasar Labuan berbanding RM30-35 di Kuala Lumpur. Begitu juga ikan Tenggiri yang dijual hanya RM20-25 sahaja di sana.
Namun keengganan syarikat penerbangan membenarkan ikan segar dibawa menaiki penerbangan mereka menyukarkan ia dibawa ke Semenanjung.
Langkah sekatan ini mula dibuat ekoran tragedi kotak yang membawa ikan segar pecah dalam kabin penyimpanan kapal terbang.
Selain ikan segar, aktiviti membuat bilis juga menjadi sumber pendapatan penduduk pulau ini kerana ikan bilis sangat banyak di perairan pulau ini.
“Jika pelancong yang datang dibenarkan membawa pulang ikan segar, ia akan menjadi satu pendapatan yang lumayan untuk penduduk Labuan dari nelayan hinggalah ke peniaga di pasar-pasar.
“Ia juga boleh menarik orang ramai melancong ke Labuan,” kata Arif Samad yang ditemui di pasar Labuan.
Ramai nelayan Labuan menjadi pekerja industri minyak dan gas serta pembuatan kapal sebelum ini.
Namun ekoran penurunan industri minyak dan gas, penduduk Labuan turut terasa dengan kekangan itu dan cuba menjadi nelayan semula.
Kini industri minyak dan gas hampir pulih dan kerajaan baru Pakatan Harapan juga mahu memberikan tumpuan semula kepada Labuan khasnya kepada penduduk asalnya selepas agak terbiar sebelum ini.
Dalam kunjungan pertamanya ke Labuan baru-baru ini, Khalid mengarahkan Perbadanan Labuan dan juga agensi-agensi kerajaan persekutuan di Labuan membuat cadangan bagi merancakkan semula aktiviti ekonomi di pulau itu.
“Saya mahu semua pihak mengemukan pandangan dan cadangan masing-masing untuk kita kaji dan laksanakan,” kata Khalid kepada lebih 90 ketua agensi kerajaan di Labuan.