Bawa pulang pelarian Rohingya, desak Serantau Muslim kepada Myanmar

Bawa pulang pelarian Rohingya, desak Serantau Muslim kepada Myanmar

Mohd Hakim bin Mohd Nor

Serantau Muslim berharap Myanmar mengotakan janji mereka dan tidak lagi menangguh urusan penghantaran pulang pelarian Rohingya seperti tahun lepas, agar negara Bangladesh dapat mengurangkan kesesakan populasi manusia di negara itu.

Pengurus Besar Serantau Muslim Mohd Hakim Mohd Nor berkata, pihaknya berharapetnik Rohingya yang dibawa pulang ke Myanmar akan diiktiraf sebagai warganegara sekali gus dapat mengelakkan penafian hak asasi dan keselamatan ke atas mereka.

“Difahamkan melalui Jurucakap International Organization for Migration (IOM), Joel Millman, sejak 25 Ogos lalu, seramai 589,000 orang Islam Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh demi mendapatkan perlindungan daripada kekejaman tentera Myanmar.

“Serantau Muslim ingin menyeru kerajaan Myanmar untuk tidak bersikap prejudis dan tidak membuka ruang diskriminasi terhadap pelarian Rohingya setelah dibawa pulang ke negara itu nanti.

“Kami juga amat mengharapkan Myanmar dapat menghentikan permusuhan dan segala bentuk kezaliman terhadap minoriti Islam itu,” ujarnya dalam kenyataan.

Kenyatan juga menyebut, sudah tiba masanya Myanmar berlapang dada untuk menerima pelarian Rohingya kembali ke negara mereka.

Setiausaha Tetap Hal Ehwal Antarabangsa Myanmar, Myunt Thu turut menyatakan bahawa pihak Myanmar telah menyusun rancangan konkrit serta menunjukkan kesanggupan politik, kelonggaran dan kemudahan proses penghantaran pulang etnik Rohingya ke Myanmar.

“Kami berharap rundingan antara Bangladesh dan Myanmar untuk memulakan penghantaran pulang pelarian Rohingya pada November akan datang dapat dijalankan seperti yang dijadualkan.” ujarnya.