Bawa watak alim tapi tak jaga penampilan, Erysha Emyra berlapang dada terima kritikan

Oleh MAISARAH AISYA

Sudah nama pun berlakon, pastinya ada kekurangan apatah lagi jika yang memegang watak utama masih baru dalam industri.

Biarpun pernah dikritik lakonan agak kayu, pelakon Erysha Emyra berlapang dada menerima segala kritikan.

Anak kepada pelakon Noniswara itu dikritik kerana gaya penampilan semasa membawa watak Aminah dalam drama Aku Bukan Ustazah dilihat tidak bersesuaian dengan imej.

Menurut Kosmo! Online, Erysha berpendapat apa yang ingin disampaikan oleh watak itu adalah lebih penting berbanding dengan gaya pemakaiannya.

“Kalau kita ambil secara positif melalui drama dan watak tersebut, kita dapatlah mesej tentang kehidupan ini. Nak istiqamah bukan senang.

“Ada juga respons yang saya lihat dalam TikTok ramai mengaku diri mereka juga begitu, pada akhirnya kita semua manusia lemah.

“Saya sendiri pun bukannya baik sangat, mungkin ada hari iman kita naik dan begitulah sebaliknya,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Sekejap tudung pendek, sekejap tudung labuh

Mengulas lanjut mengenai mengapa ada babak bertudung singkat, Erysha memaklumkan watak tersebut adalah di dalam rumah.

“Ada juga yang mempertikaikan saya yang bertudung labuh dalam drama itu tiba-tiba ada satu babak saya bertudung singkat.

Sebenarnya itu adalah babak dalam rumah dan watak saya belum bersiap untuk keluar rumah.

“Saya rasa orang yang memberikan komen itu tidak menonton drama tersebut dan hanya melihat potongan video yang tular,” ujarnya.

Baca juga: “Tidak kisahlah berkahwin dua, tiga atau empat, tapi betulkan niat dulu” – Ashraf Muslim