Bawaslu cadang undi pos warga Indonesia di Malaysia diadakan semula

Bawaslu cadang undi pos warga Indonesia di Malaysia diadakan semula

Badan Pengawas Pemilihan Umum (Bawaslu) Indonesia mencadangkan Komisi Pemilihan Umum (KPU) Indonesia mengadakan semula proses undian pos oleh rakyatnya di Malaysia, berikutan kes penemuan kertas undi yang ditanda di sekitar Kajang baru-baru ini.

Ketua Bawaslu, Abhan berkata rakyat Indonesia yang layak mengundi pos di Malaysia adalah sebanyak 319,293 pengundi.

Proses pengundian pos diadakan pada 7 April lepas, manakala pengundian di Tempat Pembuangan Suara (TPS) atau pusat pengundian yang dikendalikan Panitia Penyelenggara Pemilu Luar Negeri (PPLN) Kuala Lumpur diadakan Ahad lepas.

“Kami merekomendasikan semua kertas undi pos yang diterima, tidak akan dikira pada proses pengiraan undi esok (selepas selesai proses pengundian Pilihan Raya Umun Indonesia pada esok),” kata Abhan pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata proses pengundian semula undi pos itu diputuskan cara kendaliannya oleh KPU dan PPLN Kuala Lumpur.

Pada Khamis lepas, beratus karung beg yang mengandungi kira-kira 50,000 kertas undi ditemui di sebuah kedai di Taman Universiti, Sungai Tangkas, Bangi dan sebuah rumah di Bandar Baru Bangi.

Difahamkan, semua kertas undi itu berpihak kepada Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) serta calon legislatif yang juga sekutunya.

Lebih sejuta pengundi warga Indonesia di Malaysia, yang berdaftar sebagai pemilih, layak mengundi pada pilihan raya umum Indonesia 2019 (Pemilu 2019) , dan daripada jumlah itu, sebanyak 319,293 adalah pengundi pos.

Rakyat Indonesia akan mengundi pada Pemilu 2019 esok, bagi memilih presiden untuk negara ketiga terbesar di dunia yang mengamalkan sistem demokrasi itu.

Lebih 192 juta pengundi berdaftar atau tepatnya, 192,828,520 pengundi, layak untuk mengundi bagi memilih presiden Indonesia bagi tempoh 2019-2024.

Ketua KPU Arief Budiman berkata lebih 780,000 Tempat Pemungutan Suara (TPS) atau pusat pengundian akan dibuka mulai jam 7 pagi hingga 1 tengah hari esok, di seluruh Indonesia.

Pemilu 2019, pertama kali diadakan serentak bagi memilih Presiden Indonesia untuk tempoh 2019-2024, pemilihan 711 anggota Majlis Permusyarawatan Rakyat (MPR), 575 anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), 136 Dewan Perwakilan Daerah (DPD) serta anggota dewan legislatif seramai 19,500 orang melibatkan lebih 2,000 daerah dan perbandaran.

Tumpuan pastinya kepada pemilihan presiden Indonesia atau Pilpres, melibatkan Presiden Jokowi, yang akan mempertahankan jawatannya untuk penggal kedua bergandingan dengan gandingan baharu Ma’ruf Amin, seorang ulama berpengaruh Indonesia, sebagai naib Presiden.

Pasangan itu akan ditentang bekas ketua tentera Prabowo Subianto, yang bergandingan dengan bekas timbalan gabenor Jakarta, Sandiaga Uno.- BERNAMA