Malaysia Dateline

Bayangkan saya masih kekal Menteri Kesihatan, lunyai

Salam Jumuah Mubaarak Semua!

Hampir sukar Kerajaan Perikatan Nasional (PN) YAB Tan Sri Mahyudin Yasin (TSMY) untuk mampu bertahan momentum kencang yang kini bertiup untuk mengembalikan hak dan mandat rakyat yang diberikan kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU ke-14 lalu.

Dengan ‘Power Grab’ yang dilakukan sekumpulan ‘pembelot’ dari Kabinet PH dengan kerjasama kelompok Pas-Umno, nyata ‘takdir-tadbir’ AlLah SWT telah mengalihkan bebanan pandemik COVID-19 dan segala dampak buruknya, dari bahu PH kepada puak PN.

Saya ulangi sekali lagi ..saya seorang ‘Perpetual Optimist’ (Optimis Tegar) sentiasa memandang ‘hikmah’ disebalik sesuatu angkara dan musibah yang menimpa.

Bayangkan, bagaimana Menteri Agama PH, andainya perlu menutup masjid-surau selama hampir 3 bulan dalam era PKP COVID-19? Lunyai dikerjakan menteri ini, yang kebetulan, sentiasa menjadi sasaran pembangkang. Sukar mengelak maki-hamun yang dihamburkan ke arahnya, setiap kali disambung penutupan masjid-surau. Yang salahnya DAP juga gamaknya.

Begitu juga AlLah ‘selamatkan’ Menteri Kesihatan PH ini. Bayangkan juga, dengan 115 kematian sehingga kini, andainya Kerajaan PH terus memerintah, segala kata nista dan cemuhan jelek dipalitkan kerana kononnya, kebodohan-ketololan YBMK PH itu. AlhamdulilLah, AlLah selamatkan diri ini..!

Pun begitu, padah ekonomi dan penderitaan rakyat, akibat perlaksanaan PKP bukan kepalang. Masak Menteri Kewangan dari DAP itu digulai pembangkang!

Namun, disaat dan ketika PKP dan kini PKPB dalam proses diangkat semula, semakin jelas ‘Mandat’ yang diberikan kepada PH oleh Rakyat, adalah dalam rangka untuk dikembalikan kepada pemilik sebenarnya!

Pastinya terlalu banyak yang mahu dinukilkan, mentelahan saya menyambung ‘puasa menulis-menerbit’, setelah graduate dari Madarasah Ramadhan 1441H. Saya kekang kehendak saya menulis meskipun banyak yang hendak dikongsikan. Maaf, seperti ahli politik lain, saya juga punya hak untuk bersuara dan menulis.

Penulisan ini menyinggung perihal angin kencang Perubahan Kerajaan. Kalau sesuatu itu ada ‘sunnah’ atau hukum alamnya, maka juga sebegitu perjalanan Demokrasi. Susun-atur dan tata-kelola Demokrasi juga punya dinamika dan ciri-ciri tersendiri.

Sesungguhnya, peranan Institusi Raja Berpelembagaan menaungi dan memastikan semua berjalan mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan (FC).

Mengimbau segera perjalanan serta mekanikisme peralihan kerajaan baru-baru ini, sayugia diingatkan semua, bahawa DYMM YDPA sememang di peruntukkan kuasa dalam Perlembagaan Persekutuan (FC) termaktub dalam Perkara 40(2)(a) untuk baginda pertimbangkan…”pada hemat atau pertimbangan Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahlinya.”

Tegasnya, kuasa lantikan ini ialah kuasa budi bicara YDPA yang dijamin peruntukan FC!

Ya, bukan tanggungjawab YDPA untuk meneliti dan menimbang ‘nawaitu’ setiap pemimpin atau Ahli Yang Berhormat, dalam membuat pendirian dalam pernyataan sokongan kepada mana-mana calon Perdana Menteri.

Jauh lagi untuk menentukan samada berlaku ‘pengkhianatan’ atau ‘pembelotan’ ketika seseorang YB itu menyatakan pendiriannya.

Tidak perlu juga ditanya atau dipertikaikan oleh YDPA, samada TSMY telah menandakan tangani perjanjian bersama dengan komponen parti-parti PH, untuk secara sepakat dan muafakat, memperjuangkan perjanjian misi dan objektif PH-PBBM dalam PRU ke-14 lalu.

Tidak wajar untuk YDPA mempastikan samada TSMY telah menjalankan pelbagai langkah tipu-helah untuk mendapatkan Tun Dr Mahathir bersetuju untuk PBBM keluar dan tinggalkan Kerajaan PH, seperti video epik yang diterbitkan olih mantan Menteri Belia dan Sukan.

Tidak wajar dan tidak releven samasekali untuk YDPA dipertanggungjawabkan dengan semua karenah dan ‘political intrigue’ yang melatarbelakangi pergolakan krisis politik itu.

Begitu juga, Rakyat yakin DYMM YDPA akan terus menaungi dan menjamin kelancaran perjalanan demokrasi dalam proses pemulangan mandat, seterusnya nanti.

Akhirnya, pada detik dan saat untuk dikembalikan mandat Rakyat kepada Pakatan Harapan, saya dengan rasa penuh tanggungjawab, ingin mempertegaskan beberapa peringatan buat diri ini dan pimpinan tertinggi PH.

Demi menjaga kemurniaan perjuangan, visi dan matlamat yang sama-sama kita sepakati, amat mustahak untuk memastikan 2 (dua) jenis makhluk ini mesti disaring dari bersama gagasan ini:

Pertama, Ahli2 Yang Berhormat yang terpalit pelbagai dakwaan salahguna kuasa, pecah amanah dan sedang mendepani pelbagai tuduhan Mahkamah termasuk AMLA dan sebagainya.

Kedua, Ahli2 Yang Berhormat yang jelas memiliki pegangan dan amalan doktrin pelampau perkauman dan ekstrim agama. Jelasnya ‘DNA’ ini tidak secucuk dengan perjuangan rakan-rakan kongsi PH, yang menganjurkan matlamat ‘Rahmatan lil ‘Aalamin (Rahmat Untuk Semua), bahkan berlawanan dengan konsep ‘lnklusiviti’ dan ‘Kemakmuran Bersama’ yang disepakati muafakat politik ini.

Meskipun ‘cukup bilang’ jumlah Ahli Yang Berhormat dikatakan telah tercapai, bertambah mustahak untuk semua pihak, khasnya pimpinan tertinggi, untuk mengambil sedikit pencerahan siri pertama penulisan insan kerdil ini.

AlLahu ‘Alam. AlLahul Musta’an.

—————-

Penulis adalah Pengarah Strategi Parti Amanah Negara,
Ahli Parlimen Kuala Selangor.