Malaysia Dateline

Bayar PTPTN: Pemuda Umno cadang guna akaun KWSP

Pemuda Umno menyarankan kerajaan laksana kerjasama antara Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk kurangkan beban anak muda dalam menyelesaikan pembayaran balik hutang PTPTN.

Pengarah Strategik Pemuda Umno, Wan Agyl Wan Hassan, berkata, jika kerajaan mengambil wang tunai daripada tangan anak muda yang baru bekerja bagi membayar balik pinjaman PTPTN, ia akan menyekat kebebasan mereka untuk berbelanja.

“Pembayaran balik hutang PTPTN boleh dilaksanakan dengan menggunakan akaun di KWSP yang sememangnya boleh digunakan untuk tujuan pendidikan.

“Jika ambil duit daripada orang muda, awak sekat kebebasan dia untuk berbelanja. Kos sara hidup dah tinggi, awak ambil lagi duit daripada mereka. RM2,000 belum kena cukai pendapatan, jika sampai RM4,000 dan ke atas progresif sehingga 15 peratus kena potong sampai RM750.

“Cukai pendapatan dan KWSP kena potong, belum kira yang mahu berumahtangga dan membeli kereta?” katanya ketika berhujah dalam program Debat Awaniyang bertajuk PTPTN: Kenapa Susah Sangat Nak Bayar Hutang? terbitan Astro Awani yang berlangsung di Bukit Kewangan,semalam,.

Kerajaan pada 23 November lalu telah mengumumkan potongan gaji bagi pinjaman PTPTN sebanyak RM40 atau dua peratus sebaik gaji peminjan mencecah RM2,000 sebulan.