Malaysia Dateline

Bayaran Khas:Bukti kerajaan PH peduli kebajikan rakyat

Alan Oh

Bayaran khas sebanyak RM500 yang diberikan oleh kerajaan semalam kepada 1.4 juta penjawat awam membuktikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) peduli terhadap kebajikan rakyat, kata Ketua Cabang PKR Bagan, Alan Oh

Beliau berkata, walaupun kerajaan terpaksa berhadapan dengan hutang negara yang mencecah RM1 trilion di bawah pimpinan BN terdahulu, kebajikan rakyat tetap menjadi keutamaan.

“Dengan nyata ia memperlihatkan betapa kerajaan PH tidak pernah meminggirkan penjawat awam serta pegawai lantikan tetap maupun pegawai kontrak bagi menerima sumbangan tersebut.

“Pemberian ini tepat dan kena pada masanya kerana menjelangnya sesi persekolahan yang begitu hampir serta amat diperlukan oleh sebahagian besar golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Disamping itu pengumuman kerajaan bahawa bayaran khas sebanyak RM250 kepada hampir 800,000 pesara bagi mengenang jasa dan bakti mereka amat dialu-alukan, ” tegasnya lagi.

Malah kata Alan, meskipun tempoh kerajaan PH menerajui kerajaan Persekutuan hanya tujuh bulan, tetapi ia telah membuktikan kesungguhan kerajaan untuk membela nasib rakyat.

Tambahnya lagi, banyak lagi program kebajikan dan polisi yang mampu memberi manfaat kepada pelbagai golongan masyarakat sedang direncanakan oleh kerajaan.

Cumanya kata beliau, rakyat harus sabar dan memberi ruang kepada kerajaan bagi memperolehi pelbagai faedah yang sedang dirancang menjelang tempoh pemerintahan yang masih panjang.

“Dalam tempoh hanya tujuh bulan kerajaan PH sudah berusaha sedaya mungkin dengan kemampuan untuk membelanjakan sehingga mencecah RM1 bilion bagi manfaat bayaran khas tersebut semalam.

“Seandainya jangkamasa pemerintahan kerajaan PH lebih lama, sudah pasti banyak lagi program kebajikan yang mampu disalurkan kepada pelbagai golongan masyarakat dalam negara ini.