Malaysia Dateline

Bayi 1 tahun antara 4 yang maut akibat Covid-19

Seorang bayi berumur satu tahun antara empat pesakit yang disahkan meninggal dunia akibat wabak Covid-19 hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bayi perempuan yang meninggal di Hospital Semporna Sabah itu merupakan kes ke 12,432.

Kanak-kanak tersebut merupakan kes kematian ke 140 yang meninggal pada jam 4.25 petang semalam selepas keadaan kesihatan mangsa didapati merosot dan memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, beliau memaklumkan empat kematian direkodkan setakat jam 12 tengahari tadi menjadikan keseluruhan kes kematian sebanyak 141.

Kes kematian ke 138 membabitkan kes ke 11,154 iaitu seorang lelaki warganegara berumur 60 tahun yang meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent Sandakan.

Manakala kes kematian ke 139 merupakan kes ke 12,431 yang juga seorang lelaki berumur 60 tahun yang meninggal di Hospital Semporna.

Kes kematian ke 140 merupakan bayi perempuan berusia satu tahun itu dan kes kematian ke 141 merupakan seorang lelaki berumur 85 tahun. Warga emas tersebut merupakan kes ke 13,067 dan mempunyai latarbelakang penyakit darah tinggi dan kesihatan mental.

Terdahulu, negara mencatatkan kes positif Covid-19 lebih tinggi dari jumlah semalam dengan 691 kes hari ini menjadikan keseluruhan sebanyak 13,504 kes.

Hisham berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 688 adalah kes tempatan dan tiga lagi kes import.