Bayi 12 bulan dirempuh SUV dipandu bapa, disahkan meninggal dunia ketika terima rawatan

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang bayi perempuan yang berusia 12 bulan disahkan meninggal dunia selepas dirempuh kenderaan dipandu oleh bapanya sendiri di kediaman keluarga di Johor Bahru, semalam.

Kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 2.30 pagi ketika bapa mangsa yang berusia 27 tahun mahu mengalihkan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 daripada garaj ke luar rumah.

Difahamkan ketika mengalihkan kenderaan berkenaan, bapa mangsa tiba-tiba terdengar bunyi datang dari arah belakang tayar sebelah kiri sebelum memutuskan untuk turun dan memeriksa keadaan di luar.

Namun betapa terkejutnya sang bapa apabila turun dari kenderaan tersebut kemudian mendapati sosok anak perempuannya yang berusia setahun sebenarnya berada di belakang kereta, lapor Harian Metro.

Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak, mangsa yang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri itu segera dikejarkan ke hospital oleh bapanya untuk mendapatkan rawatan.

“Mangsa dalam keadaan berlumuran berdarah dan tidak sedarkan diri. Pemandu terbabit kemudian terus membawa anaknya ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk rawatan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Walau bagaimanapun, mangsa yang parah di bahagian kepala akibat daripada rempuhan tersebut tidak dapat diselamatkan sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Menurut pihak polis, siasatan kes itu dijalankan di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan ibu bapa dinasihatkan untuk lebih peka dan prihatin sebelum mula memandu terutamanya berhubung keberadaan anak.

“Polis menasihatkan pemandu lebih prihatin dan peka terhadap kedudukan anak-anak terutamanya yang masih kecil sebelum memulakan pemanduan.” Jelasnya kepada ibu bapa di luar sana agar kes itu dijadikan pengajaran.

Baca juga: Jarang pemimpin Cina diberi penghormatan sebegini, cucu bangga nama jalan sempena mendiang atok