Malaysia Dateline

Bayi 15 bulan sertai Warisan Run di Kuching

Dua keluarga masing-masing membawa anak kecil semasa larian ‘Warisan Run 2019’ mencuri tumpuan ramai di Padang Merdeka, pagi ini.

Warisan Run sempena Temasya Warisan Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) 2019 itu dianjurkan Persatuan Kesenian dan Warisan Melayu Kuching (KEWARISMA) dengan kerjasama Grit Event Management. Larian bermula dan berakhir di Padang Merdeka, Kuching di sini.

Pasangan suami isteri, Muhammad Hafiz Johari dan isteri, Nur Shamin Mohd Yusuf membawa bersama anak perempuan berusia 1 tahun 3 bulan menggunakan kereta sorong bayi ketika larian.

Menurut Nur Shamin, sepanjang larian itu, mereka tidak menghadapi masalah dengan kerenah anaknya.

“Malah, anak saya tidur sepanjang larian 5 kilometer itu, mungkin cuaca sejuk selepas hujan pagi tadi,” katanya.

Pasangan itu berasal dari Kampung No.5, Jalan Datuk Ajibah Abol di sini.

Sementara itu, pasangan suami isteri, Noor Khalid Abdul Rahman dan isteri, Nurhain Abu Bakar turut membawa bersama dua anak mereka iaitu Nur Zawir Muslim Noor Khaliq, enam tahun dan Nur Mumtaz Irdina Noor Khaliq, dua tahun lapan bulan.

Menurut Nurhain, anak mereka juga tidak banyak kerenah, malah seronok dibawa berlari dalam kereta sorong bayi.

Pasangan suami isteri ini menganggotai Malaysia Strolled Runners Community, berasal dari Sibu dan menetap di Taman Kopodim, Matang.

Larian pada pagi ini telah disertai 500 pelari sekitar Kuching dan mencapai sasaran Grit Event Management.