Bayi 24 hari tiada nadi dikesan, badannya sejuk

Oleh MALAYSIA DATELINE

Tiada nadi dikesan dan badannya sejuk. Itu yang disahkan doktor selepas seorang bayi baru berusia 24 hari dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Rembau, tengah hari tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian pada 1 tengah hari itu, polis belum dapat mengesahkan punca kematian bayi berkenaan memandangkan bedah siasat belum dilakukan.

Sebelum itu, bayi perempuan berkenaan ditemui tidak sedarkan diri di rumah keluarganya di Kampung Batu 1, Pedas Tengah, di Rembau.

Bayi 24 hari tiada nadi dikesan, badannya sejuk

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad, berkata anak bongsu daripada enam beradik itu disedari tidak memberi respons ketika kakaknya mahu membetulkan kain bedung, jam 1 tengah hari.

“Berdasarkan siasatan awal, ibu bayi itu yang berusia 42 tahun menyusukannya jam 12.30 tengah hari tadi. Selepas ditidurkan bayi itu diletakkan di ruang tengah rumah.

“Kira-kira 30 minit kemudian kakak bayi itu ingin membetulkan kain bedung sebelum mendapati adiknya tidak bertindak balas,” lapor BH hari ini.

Hazri berkata, prosedur kecemasan dengan memberikan bantuan pernafasan dijalankan tetapi tiada tindak balas sebelum doktor mengesahkan bayi itu sudah meninggal dunia.

“Bedah siasat belum dijalankan kerana masih menunggu laporan keputusan ujian Covid-19. Satu laporan polis berhubung kejadian dibuat ibu bayi berkenaan 5 petang tadi.

“Setakat ini, punca kematian belum dipastikan dan polis akan menjalankan siasatan lanjut selepas laporan bedah siasat diperoleh,” jelasnya.