Bayi 3 bulan maut pada hari pertama di pusat asuhan, ibu saudara berang premis masih beroperasi

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan ditemui tidak sedarkan diri pada hari pertama dihantar ke sebuah pusat asuhan yang terletak di Setia Alam, pada Isnin lalu.

Lebih mengejutkan, bayi malang terbabit disahkan meninggal dunia dalam tempoh tidak lebih daripada dua jam berada di bawah jagaan pengasuh di premis tersebut.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook, seorang wanita dipercayai ibu saudara mangsa berkongsi rasa tidak puas hati terhadap pihak pengurusan pusat asuhan itu.

Hal ini berikutan pusat asuhan terbabit tetap beroperasi seperti biasa walaupun kes berhubung kematian anak saudaranya itu masih berada dalam siasatan pihak polis.

Malah, kakitangan yang dikatakan bertanggungjawab di atas kematian bayi malang itu juga tidak digantung dan masih lagi dibenarkan bekerja di pusat asuhan tersebut.

“Beroperasi seperti biasa walaupun kes kematian masih dalam siasatan (pihak polis). Paling menyakitkan hati, pekerja cuai yang menyebabkan kematian masih bekerja.

“Hari pertama ke taska menjadi hari yang meragut nyawanya. Hanya dua jam sahaja (dihantar) sudah terjadi perkara yang buruk. Kecuaian apakah yang taska ini cuba sembunyikan.

“Kami akan tuntut keadilan buat anak saudara kami. 4 March 2024 akan menjadi tarikh yang kami tidak akan dapat lupakan sampai bila-bila,” tulis pengguna Facebook itu.

Terdahulu, polis mengesahkan pihaknya menerima satu laporan berhubung kejadian itu daripada bapa mangsa pada pukul 2.31 petang, di hari insiden tersebut berlaku.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, bayi tersebut dihantar pertama kali oleh bapanya kira-kira pada jam 8.30 pagi, Isnin lalu.

Walau bagaimanapun, bapa mangsa menerima panggilan daripada pengurus pusat asuhan kira-kira dua jam kemudian yang mengatakan anaknya tidak sedarkan diri.

Mangsa yang dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Shah Alam itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia selepas segala usaha menyelamatkannya tidak berhasil.

Jelas Mohd Iqbal, bedah siasat telah dijalankan antara pukul 12.30 tengah hari dan 5 petang keesokan harinya di hospital sama dengan keputusan ‘pending laboratory investigation‘ (menunggu hasil siasatan makmal).

Pemeriksaan lanjut dijalankan ke atas bayi yang disyaki maut akibat tersedak susu itu juga mendapati tiada sebarang kecederaan di luaran atau dalaman tubuhnya, lapor Astro Awani.

Difahamkan, siasatan dijalankan dibawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Baca juga: Hadir ke mahkamah naik kapcai EX5 dan berselipar, gaya bersahaja Datuk Red curi tumpuan