Malaysia Dateline

Bayi lapan bulan selamat dalam kemalangan ngeri, wanita ini gesa ibu bapa beli ‘car seat’

Seorang ibu kepada bayi berusia lapan bulan komited ingin menyampaikan kesedaran pemasangan ‘car seat’ selepas anaknya terselamat dalam kemalangan setelah dilanggar lori pikap.

Menurut perkongsian yang dihantar di dalam laman Facebook, My Lovely Baby & Friends of Bomba itu, wanita terbabit ingin ibu bapa sedar akan kepentingan membeli kerusi keselamatan kanak-kanak.

Hal ini kerana walaupun kemalangan tidak dapat dijangka, ibu bapa perlu melakukan langkah pencegahan agar anak mereka tidak terdedah pada sebarang marabahaya.

Oleh yang demikian, pemasangan kerusi ini amatlah penting bagi ibu bapa yang mempunyai anak kecil terutamanya bayi kerana walaupun kita sudah memandu dengan sangat berhati-hati, namun kita tidak dapat mengawal cara pemanduan orang lain.

Oleh kerana itu, dia bertekad untuk memupuk kesedaran itu dengan berkongsi pengalamannya dalam insiden ngeri melibatkan tiga kenderaan.

Menurutnya, dia berhadapan dengan detik cemas apabila kereta yang dinaiki bersama anaknya yang berusia lapan bulan dan 3 tahun itu dirempuh kuat oleh sebuah kereta sedan putih.

Katanya, kereta sedan itu sebenarnya terbabas dan gagal mengawal kenderaan setelah dilanggar oleh lori pikap.

Untungnya, dia dan suami tidak cedera parah dan kedua anaknya yang berada di dalam ‘car seat’ itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Saya ingin berkongsi pengalaman saya kepada semua ibu bapa yang mempunyai anak. Tidak kira betapa berhati-hati kita, kemalangan tidak dapat dielakkan. Tetapi kita mampu mencegahnya.

“Kami sangat bertuah kerana anak kami selamat. Tetapi kita mungkin tidak bernasib baik jika kami tidak meletakkan anak kami untuk duduk di dalam car seat.

Tambahnya, kerusi keselamatan kanak-kanak itu boleh dibeli dengan wang, namun nyawa cahaya mata tidak boleh diganti dengan harta.

Kerusi keselamatan atau car seat ini boleh didapati di pasaran atau di atas talian dengan harga di bawah RM 200.

Baca juga: Kena ‘dating’ baru boleh kahwin? Graduan psikologi ini nasihat jangan tertipu hubungan sia-sia