Bayi lelaki dihanyut tsunami kini jadi pelajar tahfiz di Acheh

Bayi lelaki dihanyut tsunami kini jadi pelajar tahfiz di Acheh

Penduduk Kampung Gurah di Banda Aceh, Indonesia menghargai keikhlasan rakyat Malaysia dalam membiayai dana pembinaan semula surau kampung itu yang musnah akibat dilanda tsunami pada 24 Dis 2004.

Wakil penduduk, Seriana Rosli 33, berkata mereka memerlukan Rp400 juta untuk kos pembinaan surau itu dan setakat ini sudah memperolehi Rp200 juta yang kebanyakannya disumbang oleh pelancong Malaysia.

“Setiap kali datang berkunjung, pelancong Malaysia tidak lokek menderma dan bersama-sama mendoakan surau ini dapat disiapkan dengan cepat untuk kegunaan umat Islam di sini.

“Lebih istimewa apabila tanah untuk pembinaan surau ini adalah hasil wakaf seorang jutawan dari Kedah. Namun, beliau tidak mengizinkan kami memberitahu namanya atau nilai wakaf tanah surau itu. Beliau menganggap wakaf tanah itu sebagai antara ‘kewajipannya’ membantu mangsa tsunami di Aceh,” katanya.

Seriana ditemui pemberita ketika kunjungan peserta Kembara Dakwah Media Terengganu ke Aceh pada 24 hingga 28 Mei lepas.

Program anjuran pejabat Dewan Undangan Negeri Ajil itu bertujuan meninjau proses pembangunan semula Aceh selepas tsunami dan mengeratkan silaturrahim antara penduduk Terengganu dan Aceh.

Terletak kira-kira tiga kilometer dari pantai, kampung yang pernah dihuni 700 penduduk itu menyimpan 1001 kisah duka apabila hanya 25 penduduk terselamat dalam tragedi ngeri itu.

Seriana berkata pelbagai kejadian ajaib dan di luar fikiran manusia terjadi ketika tsunami yang membuktikan kekuasaan Allah SWT itu.

“Mungkin saudara semua sudah mengunjungi tempat-tempat lain di seluruh Aceh untuk melihat kesan kemusnahan tsunami 13 tahun lalu. Namun saya pasti di sini, kalian akan lebih terpegun dengan keajaiban Allah SWT.

“Bayangkan bagaimana sebuah kubah masjid seberat 80 tan boleh terdampar di kampung kami, sedangkan kedudukan asalnya di Kampung Lam Teungoh iaitu 2.5 kilometer dari sini. Kedua-dua kampung ini dipisahkan jajaran bukit yang tinggi. Itulah kehebatan Allah untuk kita muhasabah diri,” katanya yang selesa membahasakan diri sebagai Seri.

Seriana yang kelihatan tenang sepanjang berkongsi pengalaman sedih itu berkata disebabkan itu, penduduk kampung sepakat mahu membina surau baharu di tapak kubah masjid hanyut itu ditemui.

“Ia sebagai tanda kenangan kami untuk menginsafi tragedi tsunami di kampung ini. Kubah masjid ini umpama ‘bot penyelamat’ kerana ramai mangsa tsunami memanjatnya untuk berlindung.

“Ketika ditemui, terdapat banyak naskhah al-Quran yang terselamat dan kami menyimpannya di galeri bersebelahan,” katanya merujuk kepada sebuah pondok yang dibina bersebelahan tapak kubah masjid itu terdampar.

Beliau berkata penduduk kampung sepakat mahu menamakan surau yang hampir siap 40 peratus itu sebagai ‘Surau Kubah’.

Mengimbas semula tragedi tsunami itu, ketika kejadian Seriana bersama suaminya telah pergi membeli barangan keperluan bayi di pekan berhampiran dan sebaik pulang ke kampung itu, mereka sangat terkejut melihat kemusnahan dan angka kematian yang tinggi.

“Terdapat sebuah pesantren (sekolah pondok) di hujung kampung yang terletak hanya 10 kaki dari bukit. Kedahsyatan tsunami membuatkan hanya empat daripada 200 pelajar terselamat.

“Kemahiran berenang tidak dapat membantu pada waktu itu, kerana mangsa terperangkap dalam sampah. Penduduk kampung turut menemui seorang bayi lelaki di atas peti sejuk di kaki bukit yang kini sudah pun menjadi pelajar tahfiz,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia & Tugas-Tugas Khas negeri Ghazali Taib berkata kunjungan peserta Kembara Dakwah Media Terengganu ke kampung itu telah memberikan suntikan semangat untuk penduduk kampung itu meneruskan pembinaan surau mereka.

“Jalinan ukhwah dan persahabatan Malaysia dan Indonesia hanya terpisah oleh lautan. Sebagai saudara seagama, pertolongan ikhlas rakyat Malaysia ini akan merapatkan lagi hubungan silaturrahim antara rakyat kedua-dua negara.

“Saya yakin pembinaan surau ini akan menjadi realiti dengan adanya sikap tolong menolong dan Insha-Allah kunjungan ini akan menjadi permulaan untuk kita terus menyebarkan syiar Islam dan bersama-sama menyumbang masa, tenaga, idea dan sumber kewangan untuk proses pembangunan Aceh secara berterusan,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)