Malaysia Dateline

Bazaar Peduli Rakyat rangsang ekonomi negara

Faiz melakukan simbolik perasmian Program Bazaar Peduli Rakyat di Kuching hari ini.

Program Bazaar Peduli Rakyat (BPR) yang diadakan di seluruh negara akan merangsangkan ekonomi negara di samping mengembangkan penglibatan usahawan dalam jangka masa panjang.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil berkata, penganjuran BPR di seluruh negara telah bermula sejak Februari lalu dengan kolaborasi tiga agensi kerajaan iaitu LKIM, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Tujuannya, jelas beliau adalah untuk membantu isi rumah yang berada dalam kategori B40 selain mengukuh serta memperluaskan pemasaran antara agensi bagi memastikan kebolehpasaran bekalan hasil pertanian ke ‘outlet’ pasaran sedia ada secara sistematik dan efektif.

Faiz pada majlis sidang media di Kuching.

“Dengan pelaksanaan program ini, ia juga akan dapat meningkat dan memperkukuhkan bekalan berpacukan kepada keperluan pasaran yang mana bekalan tersebut boleh dibekalkan secara langsung kepada pengguna sekali gus mengurangkan jaringan pembekalan.

“Seterusnya, ia juga turut meningkatkan pendapatan pengeluar dan usahawan melalui pengukuhan pasaran sedia ada serta mampu memperluaskan pasaran eksport produk mereka,” tambahnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Bazaar Peduli Rakyat di pekarangan tempat letak kereta Pasar Raya Besar Giant di Tabuan Jaya Kuching hari ini.

Faiz memberitahu, BPR adalah tergolong dalam kategori Projek ‘Quick Win’ bagi menangani peningkatan kos sara hidup rakyat yang dihadapi kini.

Justeru tegasnya, dalam mensasarkan golongan isi rumah yang berada dalam kategori B40 dan M40, mereka akan menerima penjimatan dari lima hingga 30 peratus di setiap pembelian untuk produk agro makanan terpilih seperti barangan segar, runcit, proses dan lain-lain produk keperluan harian.

“Bukan sahaja pembeli mendapat manfaat melalui program ini, malah para peniaga turut menerima tempias kerana hasil jualan mereka dapat dipasarkan terus kepada pengguna.

“Semoga dengan program ini akan dapat mengurangkan sedikit sebanyak beban yang ditanggung oleh pengguna sekali gus membuktikan bahawa kerajaan sentiasa mengambil peduli terhadap masalah rakyat di negara ini,” ujar beliau lagi.

Turut hadir ialah Ahli Lembaga Pengarah Pertubuhan Peladang, Afzainizam Abdul Rahman, Ahli Lembaga Pengarah FAMA, Mohamad Fidzuan Zaidi, Pengarah FAMA Sarawak, Dauk Dr Haji Mat Sani Hasan.